PARIS, Perancis: Zinedine Zidane bertahun-tahun menanti peluang untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Perancis dan pada Jumaat ini, pengganti Didier Deschamps sebagai jurulatih Les Bleus itu akan membimbing pasukannya buat kali pertama dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Turkiye.
Kini berusia 54 tahun, Zidane diiktiraf secara meluas sebagai antara pemain Perancis terhebat sepanjang zaman, sebaris dengan Michel Platini.
Deschamps merupakan kapten pasukan Perancis pertama yang menjuarai Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada 1998, selain mengetuai pasukan yang menjuarai Euro 2000.
Namun, Zidane menjadi tonggak inspirasi pasukan tersebut menerusi peranannya sebagai pengatur permainan yang memiliki kawalan bola yang menakjubkan serta gaya permainan yang tegas.
Beliau mengakhiri karier antarabangsa sebagai pemain 20 tahun lalu menerusi insiden tandukan terkenalnya terhadap Marco Materazzi pada masa tambahan perlawanan akhir Piala Dunia di Berlin, yang menyaksikan Perancis tewas kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan itu merupakan penampilan ke-108 dan terakhir Zidane bersama Perancis. Zidane yang dilahirkan di Marseille dan merupakan anak kepada pendatang dari Algeria itu meninggalkan negara kelahirannya pada usia 24 tahun untuk berhijrah ke luar negara selepas meninggalkan Bordeaux dan menyertai Juventus.
Zidane menghabiskan lima tahun di Itali sebelum melalui kemuncak kariernya sebagai pemain bersama Real Madrid.
Beliau kemudiannya mengendalikan gergasi Sepanyol itu dalam dua tempoh berasingan dan memenangi Liga Juara-Juara tiga tahun berturut-turut dari 2016 hingga 2018.
Tempoh keduanya sebagai jurulatih di Santiago Bernabeu berakhir pada 2021 dan sejak itu, beliau menunggu peluang untuk kembali ke pentas pengurusan sambil membuat persiapan bagi panggilan tersebut.
“Saya sudah menunggu empat atau lima tahun untuk hari ini. Saya dipenuhi emosi, benar-benar teruja dan gembira. Ini sangat besar bagi saya,” kata Zidane ketika diperkenalkan secara rasmi di Paris pada penghujung Julai, sekali gus menandakan bermulanya era baharu Perancis selepas 14 tahun di bawah kendalian Deschamps.
“Selamat pulang,” tulis kapten Perancis, Kylian Mbappe, di Instagram selepas pelantikan Zidane.
Harapan Menyerang
Zidane mengumumkan skuad pertamanya dan beberapa muka baharu turut disenaraikan, susulan jangkaan bahawa pasukannya akan mengamalkan corak permainan lebih menyerang berbanding sebahagian besar era Deschamps, sekurang-kurangnya sehingga Piala Dunia baru-baru ini.
“Anda akan dapat melihat cara saya melihat bola sepak. Bermain bola sepak dengan baik ialah perkara yang mendorong saya. Pasukan akan sentiasa mempunyai keseimbangan, tetapi saya mahu melihat kami bermain dan saya fikir kami mempunyai pasukan untuk melakukannya,” katanya.
Selepas bertahun-tahun mengutamakan keberkesanan berbanding gaya permainan, yang mengundang kritikan tetapi turut membuahkan kejayaan menjuarai Piala Dunia 2018, Deschamps menyedari beliau memiliki pemain yang mampu beraksi lebih menyerang dalam kejohanan tahun ini di Amerika Utara.
Perancis yang hadir sebagai pasukan pilihan akhirnya tewas kepada Sepanyol pada peringkat separuh akhir.
Namun, kapten Mbappe muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol, manakala Michael Olise mempamerkan aksi cemerlang. Pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ousmane Dembele, pula menyerlah dalam beberapa perlawanan.
Ketiga-tiga pemain itu berada dalam skuad Zidane, dengan jurulatih baharu berkenaan mengesahkan Mbappe kekal sebagai kapten.
Pertahanan Arsenal yang mengalami kecederaan, William Saliba, dan pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni, merupakan antara pemain utama yang tidak disenaraikan, manakala beberapa muka baharu turut dipanggil.
Pertahanan tengah Jeremy Jacquet dipanggil sebagai ganjaran atas permulaan musim yang memberangsangkan bersama Liverpool, manakala pemain tengah Como, Lucas Da Cunha, menjadi tambahan menarik dan Esteban Lepaul dari Rennes diberi peluang selepas muncul penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu.
Pembantu Zidane ialah David Bettoni yang pernah bekerja bersamanya di Real Madrid. Fabien Barthez, yang turut menjuarai Piala Dunia bersama Zidane, pula dilantik sebagai jurulatih penjaga gol.
Sasaran utama pertama jurulatih baharu itu ialah Euro 2028 di United Kingdom dan Ireland, sebelum menghadapi Piala Dunia 2030 di Maghribi, Sepanyol dan Portugal.
Namun, tugasan pertama Zidane ialah Liga Negara-Negara UEFA yang bakal memberikan ujian mencabar pada permulaan tugasnya, tetapi tanpa tekanan seperti saingan Euro atau Piala Dunia. – AFP





