Jalan dan jambatan Tanjung Manis-Sarikei pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii memotong kek bersama Persatuan Klan Yek Sarikei, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

SARIKEI: Pembukaan jaringan jalan dan jambatan yang menghubungkan Tanjung Manis dengan Sarikei bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dengan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek yang siap tahun lalu itu telah memberi impak positif terhadap kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan perhubungan yang semakin baik turut membuka Sarikei kepada kedatangan lebih ramai penduduk dari luar, sekali gus mewujudkan potensi yang lebih luas untuk perkembangan aktiviti ekonomi tempatan.

“Jalan dan jambatan Tanjung Manis-Sarikei yang siap tahun lalu telah memberi impak positif kepada ekonomi dengan membuka lebih banyak peluang serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Persatuan Klan Yek Sarikei, baru-baru ini.

Tambahnya, kejayaan pembinaan jambatan berkenaan turut didorong oleh perancangan pembangunan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Visi pembangunan infrastruktur, termasuk pelaksanaan projek pembinaan jambatan di seluruh Sarawak, memainkan peranan penting dalam meningkatkan jaringan perhubungan dan merangsang pembangunan di kawasan yang terlibat,” katanya.

Selain pembangunan fizikal, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan masyarakat menerusi pendidikan, kebajikan warga emas serta hubungan yang kukuh antara generasi.

Dalam pada itu, katanya, Persatuan Klan Yek Sarikei memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan sesama ahli, di samping memberi perhatian kepada pendidikan generasi muda dan kebajikan warga emas menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan setiap tahun.

“Anugerah pelajar cemerlang ini bukan sahaja satu penghargaan terhadap pencapaian para pelajar, tetapi juga satu harapan agar mereka sentiasa mengenang jasa ibu bapa dan tidak melupakan asal usul.

“Usaha menghargai pencapaian generasi muda dan pada masa sama memberikan penghormatan kepada warga emas dapat membantu memperkukuh hubungan antara generasi dalam komuniti,” ujarnya.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha Persatuan Klan Yek Sarikei, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membantu pelaksanaan program dan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.

Oleh Earl Anek