MIRI: Projek kerja-kerja pengorekan Kuala Baram dan kerja berkaitan yang dilaksanakan Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) kini mencapai kira-kira 90 peratus siap, sekali gus mendahului jadual yang ditetapkan dalam kontrak.
MPA dalam kenyataan berkata, perkembangan itu dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi ketika mengadakan lawatan ke tapak projek di Kuala Baram, hari ini.
Menurutnya, Majang bersama pegawai Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) turut menerima taklimat mengenai perkembangan semasa projek daripada Pengurus Besar MPA, Serawa Budol, perunding projek dan kontraktor.
“Beliau turut meninjau kemajuan fizikal kerja-kerja yang sedang dilaksanakan di tapak.
“Projek kini mencapai kira-kira 90 peratus siap dan berada pada landasan yang baik serta mendahului jadual seperti ditetapkan dalam kontrak,” katanya.
MPA berkata, lawatan itu turut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak menerusi MIPD dalam memastikan pembangunan sektor pelabuhan dilaksanakan secara terancang dan responsif terhadap keperluan industri.
Katanya, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dalam pada itu, MPA memaklumkan pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak akan terus meningkatkan kapasiti, kecekapan operasi dan kelestarian bagi memperkukuh daya saing sektor berkenaan.
“Usaha ini penting bagi memperkukuh peranan pelabuhan Sarawak sebagai antara pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling





