MIRI: Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas terbabit dalam pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Marina Phase 2, di sini, yang videonya tular di media sosial.
Menurut hantaran Polis Daerah Miri di laman Facebook hari ini, pihak polis mengesan tiga klip video masing-masing berdurasi 18, 26 dan 15 saat pada kira-kira 11.21 pagi semalam.
Rakaman itu memaparkan sekumpulan lelaki terbabit dalam pergaduhan di luar pusat hiburan berkenaan.
Susulan penularan video itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri membuat laporan polis pada 2.24 petang hari sama.
“Usaha mengesan suspek dijalankan dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang dikenal pasti terbabit dalam pergaduhan itu.
“Ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar bandar Miri bagi membantu siasatan,” menurut hantaran berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Md. Hassannal Mahadza Hamid di talian 016-3147697.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-432533.
Oleh Liong Chai Ling





