IPU Kanowit, Lubok Antu kekal sangat tidak sihat tengah hari

Facebook
WhatsApp
STATUS Indeks Pencemar Udara (IPU) Sarawak setakat 12.00 tengah hari ini, menunjukkan Kanowit dan Lubok Antu masing-masing merekodkan bacaan 218 dan 205, iaitu pada tahap sangat tidak sihat. Sumber NREB.

KUCHING: Kanowit dan Lubok Antu terus merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat tengah hari ini, dengan masing-masing mencatat bacaan 218 dan 205.

Berdasarkan status IPU Sarawak yang dikeluarkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), bacaan Kanowit meningkat 12 mata berbanding 206 pada 8.00 pagi, manakala Lubok Antu meningkat dua mata daripada 203.

Kapit merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori tidak sihat dengan 170, diikuti Serian (167), Sri Aman (161) dan Sibu (161).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Bintulu (159), Samalaju (157), Kuching (157), Betong (156), Samarahan (155), Miri (153), Lundu (126), Limbang (105) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (102).

Sementara itu, lima kawasan merekodkan bacaan sederhana iaitu Sarikei (99), Tebedu (95), Bario (88), Mukah (89) dan Lawas (80).

Berbanding bacaan 8.00 pagi, beberapa kawasan menunjukkan peningkatan, termasuk Kanowit daripada 206 kepada 218, Mukah daripada 80 kepada 89, Bario daripada 56 kepada 88 dan Sibu daripada 156 kepada 161.

Bagaimanapun, bacaan ILP Miri menunjukkan penurunan ketara daripada 146 pada 8.00 pagi kepada 102 setakat tengah hari.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Dalam perkembangan berkaitan, semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan PPD Kanowit ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini berikutan keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan kedua-dua kawasan berkenaan setakat 9.00 pagi hari ini, dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.

Oleh Shikin Mahmud