PETRA JAYA: Sebarang penambahan kerusi Parlimen bagi mencapai nisbah satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak perlu disusuli dengan peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik, kata Naib Ketua Wanita PBB, Dato Sri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, perkembangan itu seharusnya turut membuka ruang lebih besar kepada wanita untuk menyertai kepimpinan politik, termasuk sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih ramai pelapis.
“Kalau satu per tiga kerusi itu sudah dapat kelulusan, maka perlu ditingkat juga nisbah wanita dalam penyertaan dalam kepimpinan dari sudut politik, masuk Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Kuasa dan Penampilan di Pustaka Negeri Sarawak, di sini.
Nancy berkata, wanita tidak seharusnya meletakkan had 30 peratus terhadap penyertaan mereka dalam kepimpinan kerana peluang yang lebih luas boleh membuka ruang kepada penyertaan yang lebih tinggi.
“Kita selalu dengar 30 peratus, 30 peratus. Mengapa kita meletakkan had untuk diri kita sendiri?
“Kita sepatutnya mempunyai seramai-ramai yang boleh. Jadi bagi saya, janganlah letak had itu untuk diri kita sendiri. Teruskan supaya kita dapat lebih ramai penyertaan wanita,” katanya.

Menurutnya, penyertaan wanita dalam bidang politik ketika ini masih rendah berbanding bidang ekonomi dan perlu digalakkan melalui program pembangunan kepimpinan seperti Perantis.
Beliau berkata, program berkenaan bukan hanya bertujuan melahirkan pemimpin politik, tetapi turut membentuk pemimpin dalam bidang ekonomi dan sektor lain.
“Tidak semestinya apabila mereka memohon Perantis dari sudut politik, mereka akan terus menjadi menteri atau orang politik.
“Tetapi yang penting ialah kita mempunyai pemikiran yang seharusnya menyeluruh, bukan hanya berfikir mengenai wanita, kita fikir pasal keluarga dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Nancy berkata, usaha melatih lebih ramai wanita sebagai pelapis kepimpinan juga penting memandangkan kepimpinan sedia ada memerlukan pengganti pada masa akan datang.
“Kami ini semakin hari makin berumur, perlu ada pengganti. Perlu ada mereka yang akan jadi pelapis. Maka perlu dilatih,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





