SIBU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie akan terus menjadikan pendidikan sebagai antara keutamaan yang diperjuangkannya di Parlimen bagi memastikan anak-anak di luar bandar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan setara.
Katanya, seluruh warga pendidikan harus sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan integriti serta menjadikan pengiktirafan ini sebagai suntikan semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan pendidikan.
“Saya menyeru kepada warga pendidik agar terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, integriti dan menjadikan pengiktirafan ini sebagai suntikan semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Penghargaan Pendidikan dan Majlis Sanjungan Budi, Kilauan Bakti Pejabat Pendidikan Daerah Daro Tahun 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di Sibu.
Majlis tersebut telah menghimpunkan sekitar 500 Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
Ahmad Johnie mengucapkan tahniah dan syabas kepada 94 penerima APC serta setinggi-tinggi penghargaan kepada 35 pesara atas segala jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Mohd Yusri Azhar Abdullah @ Leo Takip, Pengarah Urusan BMCT Holding Sdn. Bhd, Mohamad Mohadiruddin Semain.
Oleh Akun Giman





