BINTULU: TalentPath Sarawak 2026 diperkenalkan bagi menyediakan tenaga kerja Sarawak yang berkemahiran, bertauliah dan bersedia memenuhi keperluan industri semasa serta masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program itu memberi penekanan kepada latihan bersubsidi dan pensijilan berkaitan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran rakyat Sarawak.
“Objektif kita bukan sekadar menghasilkan lebih ramai graduan latihan, tetapi membangunkan individu yang kompeten, mempunyai sijil dan bersedia untuk bekerja,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran TalentPath Sarawak 2026 Siri Bintulu di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan diwujudkan bagi membangunkan tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri, berkemahiran dan bersedia untuk industri, khususnya dalam kalangan bakat muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, pembangunan modal insan perlu diberi perhatian memandangkan Sarawak terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan membangunkan industri baharu yang memerlukan tenaga kerja tempatan dengan kompetensi serta kemahiran bersesuaian.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap pembangunan rakyat kerana kita menyedari bahawa modal insan merupakan asas kepada kemajuan ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata, TalentPath Sarawak 2026 menyediakan peluang kepada rakyat Sarawak untuk meningkatkan kebolehpasaran melalui latihan bersubsidi dan pensijilan yang relevan dengan industri.
Katanya, permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknikal semakin meningkat di Sarawak, khususnya di Bintulu yang mempunyai asas industri kukuh merangkumi sektor tenaga, petrokimia, pembuatan, pembinaan dan industri berat.

Menurutnya, kerjasama antara Petros dan ADTEC JTM yang diwujudkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mac lalu menyasarkan latihan kepada lebih 500 rakyat Sarawak tahun ini dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kimpalan, perancah, letupan dan pengecatan, pemasangan mekanikal serta pemasangan paip.
“Dengan melengkapkan anak muda kita dengan kompetensi yang diiktiraf industri, ia menyediakan laluan praktikal kepada pekerjaan di samping membantu industri memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran,” katanya.
Roland Sagah berkata, antara kursus yang ditawarkan menerusi TalentPath Sarawak 2026 ialah Pemasangan Mekanikal, Pemasangan Paip, Pengecatan dan Peletupan, Pendawaian Fasa Tunggal dan Pakar Penuaian.
Beliau berkata, latihan Pakar penuaian menyokong keperluan industri kelapa sawit Sarawak yang meliputi kira-kira 1.62 juta hektar, khususnya dalam menangani kekurangan penuai berkemahiran serta menyokong penggunaan mekanisasi dan teknologi dalam aktiviti penuaian.
Sementara itu, latihan Pendawaian Fasa Tunggal pula menyediakan kemahiran elektrik yang diperlukan dalam sektor pembinaan, perumahan, penyelenggaraan bangunan, utiliti dan infrastruktur.

“Bersama-sama, kemahiran ini mengukuhkan penyelarasan antara latihan TVET dengan permintaan industri sebenar, mewujudkan laluan kerjaya teknikal yang boleh mendapatkan pekerjaan dan menyumbang kepada aspirasi Sarawak untuk membangunkan 500,000 pekerja berkemahiran menjelang 2030,” katanya.
Menurut beliau, TalentPath Sarawak 2026 turut memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk lepasan sekolah, graduan baharu, pencari kerja yang menganggur dan mereka yang mahu menukar kerjaya.
Katanya, kemahiran teknikal dan vokasional memainkan peranan penting dalam pembinaan industri, penyelenggaraan infrastruktur serta pembangunan ekonomi.
“Pensijilan yang diiktiraf boleh membuka pintu kepada pekerjaan pertama. Pekerjaan pertama boleh membawa kepada pengalaman, manakala pengalaman boleh membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi, perkembangan kerjaya dan kualiti hidup yang lebih baik untuk individu serta keluarga,” katanya.
Roland Sagah berkata, pelaksanaan TalentPath Sarawak 2026 juga menyokong sasaran PCDS 2030 untuk meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran di Sarawak kepada 500,000 orang menjelang 2030.
“Untuk mencapai sasaran ini, kita bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah program latihan, tetapi memastikan latihan itu relevan, pensijilan diiktiraf, kemahiran dipadankan dengan permintaan industri dan peserta diberikan peluang sebenar untuk memasuki pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya menerima peruntukan RM2 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran di bawah Program Khas Bumiputera Sarawak (PKB) tahun ini yang memberi manfaat kepada 156 peserta.
Katanya, tambahan RM500,000 turut diluluskan bagi memberi peluang kepada 63 peserta lagi mengikuti latihan menerusi pendekatan Latih dan Tempatkan (Train & Place)
Peserta terbabit akan mengikuti lima kursus berkaitan industri di TVETMARA Bintulu, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak dan Pelita Maslaut Sdn. Bhd.
Beliau turut menggesa peserta supaya mengambil serius latihan yang diikuti, menguasai kemahiran teknikal, mengutamakan keselamatan di tempat kerja serta membina sikap untuk terus belajar.
“Yang paling penting, bina sikap sebagai pembelajar sepanjang hayat. Ingat, sijil anda mungkin membuka pintu, tetapi kompetensi, disiplin, sikap dan kesediaan untuk belajar akan menentukan sejauh mana anda berkembang dalam kerjaya,” katanya.
TalentPath Sarawak 2026 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) yang menggabungkan kerajaan, institusi latihan dan rakan industri bagi menyediakan latihan berasaskan keperluan industri, pensijilan yang diiktiraf serta laluan tersusun ke alam pekerjaan.
Oleh Faizah Muzidi





