LIMBANG: Kerajaan Sarawak dalam usaha menambah bilangan pesawat bagi syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo Airways.
Langkah itu bagi memenuhi keperluan kekerapan penerbangan domestik, khususnya di utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hasrat itu seiring dengan misi strategik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk mengukuhkan kesalinghubungan udara negeri.
“Saya tahu banyak permintaan untuk menambah AirBorneo. Kita sedang mendapatkan beberapa buah kapal terbang, termasuk jenis-jenis kapal terbang yang mendarat dari Kuching ke Limbang ini.
“Semoga apa yang kita rancang untuk mendapatkan lagi beberapa buah kapal terbang ini tercapai.
“Dengan itu, mudah untuk kita merancang bukan sahaja dari segi kekerapan pesawat itu, tetapi juga dari segi destinasi. Saya bersama dengan Premier Sarawak telah pergi melihat di Toulouse, Perancis untuk berbincang dengan pembekal ini,” katanya ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan kerajaan Sarawak sedang berada dalam peringkat perbincangan untuk menambah beberapa buah pesawat baharu jenis ATR bagi menggantikan pesawat sedia ada.
Jelasnya, Premier Sarawak sebelum ini telah mengetuai delegasi rasmi melawat ibu pejabat serta kilang pemasangan akhir ATR dan Airbus di Toulouse, Perancis.
Ujarnya, lawatan tersebut bertujuan meninjau inovasi penerbangan terkini serta mempersiapkan Sarawak sebagai sebuah hab aeroangkasa serantau melalui kerjasama strategik dan pembangunan projek Aerotropolis.
Melalui penambahan pesawat baharu itu, ia dapat memenuhi keperluan untuk menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kuching-Limbang kepada dua kali sehari bagi memenuhi permintaan penduduk tempatan.




