Netizen persoal akses, proses permohonan dana industri kreatif Sarawak

Facebook
WhatsApp
NETIZEN persoal akses, proses permohonan dana industri kreatif Sarawak

KUCHING: Kenyataan bahawa permohonan dana pembangunan industri kreatif Sarawak masih rendah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mempersoalkan proses permohonan, maklum balas serta akses kepada kemudahan pembiayaan berkenaan.

Antara persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada jumlah permohonan yang rendah itu berpunca daripada kurangnya kesedaran dalam kalangan penggiat industri atau terdapat kekangan tertentu dalam proses permohonan.

Seorang pengguna media sosial, Priscilla Michael, mempersoalkan sama ada permohonan daripada penggiat industri kreatif benar-benar dipertimbangkan, selain menyatakan beliau telah mencuba memohon selama beberapa tahun.

“Sik dipandang permohonan kita. Ginei ya??? Dah berapa tahun try…” katanya dalam ruangan komen.

Seorang lagi pengguna, Richell Lbs, pula menyifatkan potensi mendapatkan dana sebagai rendah, manakala beberapa pengguna lain mempersoalkan proses permohonan yang disifatkan kurang jelas.

“Dana ada, potensi nak dapat, rendah,” katanya.

Turut mendapat perhatian ialah komen pengguna yang mendakwa pernah menghantar permohonan tetapi tidak menerima maklum balas.

“Dah hantar proposal dan tunggu email. Bebulan last call sidak padah sik lepas. Hmm,” tulis seorang pengguna, Saiful Hardwick.

Dalam pada itu, seorang pengguna lain, Freddy Hარმthon, mendakwa sudah membuat permohonan sejak awal tahun namun masih belum menerima keputusan, termasuk selepas permohonan dibuka semula.

“Permohonan di tahap rendah???? Kami apply dari awal tahun sampai sekarang tiada keputusan… lepas tu buka balik, kami apply balik… pun tiada jawapan sampai sekarang,” katanya.

Persoalan sama turut dibangkitkan seorang pengguna yang mendakwa pernah membuat permohonan bagi pihak sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun masih belum menerima jawapan selepas beberapa kali permohonan dibuat.

“Kami NGO pernah mohon. Beberapa kali. Tak pernah menerima jawapan. Walhal hantar serahan tangan, disemak di kaunter, dan bila ditanya dalam proses sampai ke hari ini memang tiada menerima jawapan,” katanya.

Selain isu maklum balas, terdapat juga netizen yang mencadangkan supaya proses pendaftaran dan permohonan dipermudahkan bagi menggalakkan lebih ramai penggiat industri kreatif memohon.

“Kurangkan kerenah permohonan dan permudahkan proses pendaftaran,” kata seorang pengguna, Hilster Ramba.

Seorang lagi pengguna pula mencadangkan supaya kriteria permohonan dana diperjelaskan kepada pemohon.

“Offer grant/dana, tapi kriteria permohonan dah macam maok xmok beri jak,” katanya.

Reaksi itu muncul susulan kenyataan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa dana pembangunan untuk industri kreatif tersedia, namun jumlah permohonan ketika ini masih rendah.

Abdul Karim berkata, kementeriannya menyediakan sekitar RM8 juta untuk tujuan berkenaan, sambil menggalakkan golongan muda memanfaatkan peluang pembiayaan dalam bidang seperti filem, muzik, seni persembahan, media digital dan kraf warisan.

Beliau turut menegaskan kreativiti perlu dilihat sebagai laluan kerjaya dan sumber ekonomi, bukan sekadar hobi.