Pendidikan pelaburan penting bentuk masa depan generasi muda – Roy Gingkoi

Facebook
WhatsApp
HADIR…Roy Angau Gingkoi hadir pada majlis projek RTP Parlimen Lubok Antu dan Merarau SK Nanga Tebat semalam. Foto Roy Angau Gingkoi

LUBOK ANTU: Pendidikan perlu terus diberi keutamaan kerana menjadi antara pelaburan paling penting dalam membentuk masa depan generasi muda serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, pendidikan bukan sahaja memberikan ilmu dan kemahiran kepada seseorang, malah berupaya membuka lebih banyak peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Menurut beliau, pendidikan yang berkualiti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran, berpengetahuan dan berdaya saing untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Pendidikan hari ini adalah masa depan yang lebih baik kerana ilmu yang diperoleh mampu mengubah taraf hidup seseorang serta menyediakan generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Parlimen Lubok Antu dan Merarau di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tebat di sini semalam.

Roy berkata, pembangunan pendidikan tidak seharusnya hanya dilihat dari aspek pencapaian akademik, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, kemahiran, kepimpinan dan nilai tanggungjawab dalam kalangan murid.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa supaya terus memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mendapat sokongan sewajarnya serta memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan.

Beliau turut menggalakkan para pelajar agar mempunyai cita-cita tinggi dan tidak mensia-siakan peluang untuk menimba ilmu kerana kejayaan pendidikan mampu menjadi asas kepada masa depan yang lebih cerah.

Dalam majlis berkenaan, Roy turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Tebat bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti sekolah demi manfaat warga pendidik serta murid.

Oleh Adi Safarman