SARIKEI: Pembangunan komuniti yang benar-benar mampan perlu digerakkan dari dalam dengan memperkasa anak muda tempatan agar mereka memiliki kemahiran dan keupayaan untuk terus menyumbang selepas sesuatu program berakhir.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, pendekatan tersebut dapat dilihat menerusi Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 apabila sembilan daripada 10 sukarelawan muda yang menggerakkan program tersebut berasal dari Sarikei.
“Saya difahamkan bahawa program ini digerakkan sepenuhnya oleh sepuluh sukarelawan muda dan sembilan daripada mereka berasal dari Sarikei. Ini bukan perkara kecil.

“Apa yang saya saksikan di sini adalah belia Sarikei sendiri yang dilatih, turun padang dan akan terus berada di sini lama selepas majlis ini berakhir.
“Inilah yang saya percaya, pembangunan yang benar-benar mampan bukan sesuatu yang berlaku kepada sesebuah komuniti, tetapi sesuatu yang tumbuh dari dalam komuniti itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Mansang Anak Sarawak Sarikei 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, hari ini.
Katanya, sebagai wakil rakyat kawasan tersebut, beliau memahami antara cabaran yang dihadapi pelajar tempatan khususnya dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain ketidakpastian mengenai hala tuju selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sejak saya menjadi wakil rakyat kawasan ini, hampir RM1 juta telah disalurkan sebagai insentif kepada pelajar cemerlang di seluruh Parlimen Tanjong Manis dan tidak lama dahulu, seramai 121 pelajar dari Sarikei sendiri menerima insentif ini.
“Kami juga sedang giat menyalurkan Smart TV kepada 41 buah sekolah dalam kawasan Parlimen Tanjong Manis bagi memperkasakan pembelajaran digital.
“Justeru, apabila saya melihat modul STEM dan modul perancangan pasca-SPM yang dijalankan oleh Mansang Anak Sarawak sepanjang tiga hari ini, saya melihatnya bukan sebagai program berasingan, tetapi sebagai usaha yang selari, yang saling menyokong, dengan apa yang cuba kami capai bersama untuk anak-anak Sarikei,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar SMK Sarikei Baru supaya menjadikan pengalaman diperoleh menerusi program tersebut sebagai titik permulaan untuk menentukan hala tuju masa depan, sama ada meneruskan pengajian, memasuki alam pekerjaan mahupun melibatkan diri dalam kesukarelawanan.
Tambahnya, program tersebut juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam aspek pendidikan berkualiti, kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi dinamik.
“Justeru, saya ingin memberi jaminan bahawa saya sentiasa terbuka untuk terus berbincang dan bekerjasama dalam usaha memperkasakan lagi program-program sebegini pada masa hadapan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers), Nyambung Blaja, PETROS, TEGAS, CENTEX dan Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), UNIMAS atas usaha menjayakan program tersebut.
Turut hadir, Pengarah Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Abdul Gulam Azad; Naib Presiden Kanan Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan PETROS, Ismail Said; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei Sektor Pembelajaran, Nur Fadzrine Yung Abdullah; Exco Sarawak Volunteers, Arif Adam Patahul Ariffin; Pengarah Projek, Ilman Jayasilan dan Pengetua SMK Sarikei Baru, Abdul Ghani Sibli.
Oleh Earl Anek




