KUCHING: Program kesuburan bagi meningkatkan kadar kelahiran negara antara tumpuan utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam cadangan Bajet 2027, kata Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi menangani isu kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang rendah, dengan Sarawak dan Pulau Pinang antara negeri yang perlu diberi perhatian khusus.
“Program kesuburan. Sebab kita masih kurang penduduk, kita mahu meningkatkan (jumlah penduduk). Jadi, kita ada juga mencadangkan program untuk kesuburan.
“Terutamanya sekali ada Sarawak dan Pulau Pinang antara yang perlu diberi fokus kerana kita mahu membantu untuk meningkatkan kadar kelahiran (TFR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri majlis perasmian program PERINTIS-PENDAYA 2.0 di Menara Dayak Chambers, di sini, hari ini.
Nancy berkata, program berkenaan termasuk inisiatif di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), termasuk rawatan kesuburan seperti persenyawaan in-vitro (IVF).
Katanya, program sedia ada itu akan diberi tumpuan lebih besar tahun depan bagi menggalakkan lebih ramai pasangan, khususnya golongan muda, untuk mempunyai anak.
“Memang ada dalam program di bawah LPPKN kita. Bajet dimasukkan di bawah LPPKN dan memang ada beberapa program yang kita mahu jalankan.
“Sebenarnya kita sudah melaksanakannya, cuma kita mahu beri tumpuan untuk tahun depan supaya kita dapat menggalakkan lebih ramai lagi, terutamanya dalam kalangan orang muda,” katanya.
Menurutnya, kerajaan menyedari faktor ekonomi turut menjadi antara cabaran kepada golongan muda untuk membina keluarga dan mempunyai anak.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan turut ditangani melalui pendekatan kementerian lain, manakala KPWKM memberi tumpuan kepada program yang secara langsung dapat menggalakkan peningkatan kadar kelahiran.
“Kita sedar ada masalah ekonomi, tetapi itu akan diambil kira oleh kerajaan melalui kementerian yang lain.
“Bagi kami, lebih kepada program-program yang boleh menggalakkan mereka melahirkan anak. Kita perlukan lebih ramai, populasi perlu ditingkatkan di negara kita ini,” katanya.
Nancy berkata, kementeriannya turut mengemukakan beberapa cadangan lain untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2027, khususnya membabitkan kebajikan ekonomi, wanita dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, pertambahan peruntukan juga diperlukan bagi menampung peningkatan jumlah penerima bantuan kebajikan serta pelaksanaan program kementerian.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan terdapat kajian berkaitan kadar kesuburan yang boleh membantu kerajaan dalam merangka langkah meningkatkan kadar kelahiran.
Bagaimanapun, Nancy berkata butiran kajian berkenaan akan diumumkan kemudian, termasuk ketika majlis pembukaan bangunan LPPKN.
“Ada. Memang ada kajian, tetapi saya mahu simpan perkara ini untuk pembukaan bangunan LPPKN nanti,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





