SIBU: Majlis Kanak-Kanak Sibu menjadi antara platform penting untuk membentuk pemimpin masa depan Sarawak dengan memberi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai fungsi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penglibatan kanak-kanak dalam majlis itu bukan sekadar memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan, malah melatih mereka bekerjasama dan menangani isu yang memberi kesan kepada golongan berkenaan.
“Pemimpin tidak dilahirkan begitu sahaja. Mereka perlu dilatih dan diberikan peluang,” katanya ketika berucap pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Kanak-Kanak Sibu penggal kedua di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ahli majlis kanak-kanak turut memainkan peranan sebagai wakil kepada keseluruhan komuniti kanak-kanak di Sibu, bukan hanya menyuarakan kepentingan diri sendiri.
“Apabila anda berada di sini sebagai ahli majlis kanak-kanak, anda bukan hanya mewakili diri sendiri. Anda mewakili semua kanak-kanak lain,” katanya.
Dr Sim berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pembinaan negara dengan membolehkan generasi muda memahami peranan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan sejak di peringkat awal.
Katanya, pendekatan itu juga memberi peluang kepada golongan muda dan pemimpin untuk saling belajar dalam usaha bersama-sama membangunkan Sarawak.
“Ini adalah proses pembelajaran. Saya belajar daripada anda dan anda belajar daripada saya. Kita belajar bersama untuk Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh program mesra kanak-kanak turut mencerminkan komitmen Sarawak untuk menanda aras inisiatif berkenaan berdasarkan piawaian antarabangsa, dengan tujuh daripada 11 Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak di Malaysia berada di Sarawak.
Beliau berkata, pendekatan itu kini turut diperluaskan ke luar kawasan bandar dan majlis perbandaran apabila Mukah dan Dalat akan melaksanakan Inisiatif Komuniti Mesra Kanak-Kanak.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, penggal kedua Majlis Kanak-Kanak Sibu turut memberi penekanan kepada aspek keterangkuman dengan tiga kanak-kanak berkeperluan khas dilantik sebagai ahli.
Katanya, penyertaan mereka mencerminkan hak setiap kanak-kanak untuk didengar, mengambil bahagian dan menjadi sebahagian daripada komuniti.
Seramai 22 ahli Majlis Kanak-Kanak Sibu penggal kedua mengangkat sumpah pada majlis yang berlangsung di Perpustakaan MPS, di sini, hari ini.
Oleh Tarani Lanting




