Serangan di ibu pejabat polis Pakistan ragut 31 nyawa

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA tentera berdiri di tengah-tengah runtuhan susulan letupan di dalam ibu pejabat polis di Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada 18 September 2026. Foto AFP

KOHAT, Pakistan: Jumlah kematian akibat letupan dan serangan bersenjata di sebuah ibu pejabat polis di utara Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota polis, menurut seorang pegawai kanan polis kepada AFP, ketika pertempuran masih berterusan.

Penyerang menyerbu kompleks Old Police Lines di Kohat, sebuah bandar berpenduduk kira-kira 220,000 orang di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KP).

Kompleks polis berkenaan berfungsi sebagai ibu pejabat polis peringkat daerah, menempatkan pejabat penting Jabatan Antikeganasan (CTD), Cawangan Khas serta beberapa unit polis lain.

SEORANG anggota tentera berjalan di tengah-tengah runtuhan susulan letupan di dalam ibu pejabat polis di Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada 18 September 2026. Foto AFP

“Sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota polis, terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera setakat ini dalam serangan militan dan pengeboman bunuh diri,” kata pegawai itu.

“Beberapa militan masih bersembunyi di bahagian Cawangan Khas dalam Kompleks Polis Kohat,” kata pegawai polis berkenaan kepada AFP dengan syarat tidak dinamakan.

“Pertempuran dengan mereka berterusan sejak lewat malam tadi. Jumlah sebenar mereka masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dalam kenyataan pada lewat Jumaat, pegawai kesihatan Daerah Kohat berkata lebih 100 orang cedera, sebahagian besar daripada mereka anggota polis, manakala beberapa mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Kumpulan militan tempatan Ittehad-ul-Mujahideen Pakistan, sebuah kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), atau Taliban Pakistan, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. – AFP