Zon Ekonomi Sibu pemacu transformasi ekonomi bandar – Dr Sim

Facebook
WhatsApp
DR SIM....Menyempurnakan majlis perasmian AGM 2026 ACCCIS di sebuah hotel di sini, hari ini.

SIBU: Zon Ekonomi Sibu (SEZ) dengan peruntukan awal RM1.5 bilion bakal menjadi platform utama menyelaras pembangunan ekonomi bandar ini, khususnya dalam menarik pelaburan, memperkukuh sektor perkhidmatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan Sarawak telah bersetuju secara prinsip dengan penubuhan SEZ sebagai sebahagian usaha mentransformasikan ekonomi Sibu.

Menurutnya, pembangunan Sibu turut akan dipacu melalui peningkatan kesalinghubungan dan kapasiti perindustrian, termasuk cadangan Jambatan Tebingan Barat serta Taman Perindustrian Sibu yang dijadual siap pada 2029.

“Cadangan pembangunan semula Bukit Assek yang turut mendapat kelulusan secara prinsip merupakan satu lagi inisiatif jangka panjang untuk membawa Sibu ke arah ekonomi lebih mampan dan bernilai tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2026 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, Sarawak kini memasuki fasa penting transformasi ekonomi dan perlu bergerak melangkaui industri tradisional dengan membangunkan sektor baharu serta meningkatkan keupayaan pengetahuan dan teknikal.

“Antara sektor yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan masa depan ialah tenaga boleh diperbaharui dan hijau, semikonduktor, penjagaan kesihatan, pendigitalan serta industri berasaskan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, sektor swasta perlu memainkan peranan lebih besar dalam menterjemahkan dasar, infrastruktur dan platform pembangunan kerajaan kepada pelaburan, aktiviti perniagaan serta peluang pekerjaan sebenar.

“Kerajaan akan terus menyediakan hala tuju dasar, infrastruktur dan platform untuk pertumbuhan, manakala sektor perniagaan perlu bersedia untuk melabur, berinovasi dan mengenal pasti peluang baharu,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), Kapitan Ngu Ing Hong, Presiden ACCCIS, Kong Chiong Ung, Presiden Dewan Gabungan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng serta yang lain.

Oleh Akun Giman