BINTANGOR: Usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya maju tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menyediakan persekitaran terbaik untuk perkembangan kanak-kanak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perkembangan anak-anak bukan sahaja bergantung pada pendidikan yang diterima di sekolah, malah turut memerlukan kasih sayang dan perhatian ibu bapa serta sokongan masyarakat.
“Pendidikan anak-anak merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
“Kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan semua pihak berkaitan amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif untuk anak-anak belajar serta membesar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan Hari Kanak-Kanak anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Tak, semalam.
Katanya, penganjuran sambutan itu mempunyai nilai tersendiri kerana bukan sahaja mengetengahkan tradisi dan kebudayaan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.
“Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh bukan sahaja menjadi ruang untuk meraikan tradisi dan kebudayaan, malah turut melambangkan perpaduan, kasih sayang dan ikatan kekeluargaan.
“Manakala sambutan Hari Kanak-Kanak mengingatkan kita mengenai peranan penting generasi muda sebagai harapan dan masa depan negara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati para murid supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru, menghargai rakan-rakan serta berani mencuba perkara baharu dalam proses membina keyakinan dan mengembangkan potensi diri.
Ding turut mengingatkan mereka supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran, sebaliknya menjadikan setiap pengalaman sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembentukan diri.
Dalam aspek pembangunan pendidikan, beliau menghargai komitmen Lembaga Pengelola Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta ibu bapa yang berganding bahu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk murid SJKC Su Tak.
Ding turut menyatakan komitmen untuk terus memberi perhatian terhadap perkembangan sekolah itu dan menyalurkan sokongan mengikut kemampuan, khususnya berkaitan pendidikan prasekolah, pembangunan serta kemudahan sekolah.
Sebagai tanda sokongan, beliau mengumumkan geran khas berjumlah RM10,000 kepada SJKC Su Tak bagi membantu pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah pada 2027.
“Saya berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada pihak sekolah dan para murid serta membantu memperkukuhkan lagi pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan sekolah,” katanya.
Oleh Earl Anek





