Pendidikan tinggi bukan lagi halangan kos – Annuar

Facebook
WhatsApp
TANDA INGATAN: Dr Annuar (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Ringgit sambil disaksikan (dari kiri) Echi, Christopher dan Chua selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM 2025 SMK Ulu Balingian di Sibu, hari ini.

SIBU: Pelajar luar bandar kini mempunyai lebih banyak peluang melanjutkan pengajian tinggi susulan peluasan akses pendidikan serta pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma di Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, keadaan itu seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk berhenti belajar.

Katanya, pelbagai laluan kini tersedia termasuk matrikulasi, program asasi, politeknik, universiti awam serta institusi pengajian tinggi di Sarawak.

UNTUK ALBUM…Dr Annuar (duduk tengah) serta tetamu kehormat lain merakamkan kenangan bersama para pelajar pada Majlis Penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM 2025 SMK Ulu Balingian di Sibu, hari ini.

“Jangan seorang pun daripada anda berhenti belajar setakat Tingkatan 5. Selepas tamat Tingkatan 5, terdapat begitu banyak peluang yang tersedia untuk anda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, peluasan peluang berkenaan amat signifikan khususnya kepada pelajar luar bandar yang sebelum ini berdepan cabaran dari segi kos, jarak dan akses kepada institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding generasi terdahulu apabila pilihan untuk melanjutkan pengajian tinggi di Sarawak masih terhad.

“Pada zaman saya dahulu, peluang pendidikan sangat terhad. Saya sendiri terpaksa pergi ke Kuala Lumpur untuk urusan berkaitan pengajian kerana ketika itu kemudahan seperti ini belum tersedia di Sarawak.

“Sekarang peluang sudah jauh lebih luas. Tidak sepatutnya ada alasan untuk berhenti belajar selepas Tingkatan 5,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.

Dr Annuar berkata, perubahan akses pendidikan tinggi itu turut dapat dilihat menerusi perkembangan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), yang kini mempunyai lebih 5,000 pelajar berbanding sekitar 1,000 pelajar pada 2021.

Katanya, peratusan pelajar Bumiputera di UTS juga meningkat daripada sekitar 10 peratus sebelum 2021 kepada sekitar 45 peratus kini.

“Dahulu kos pengajian boleh mencecah sekitar RM70,000 bagi sesuatu program. Dengan pendidikan tinggi percuma, isu kos itu tidak lagi sepatutnya menjadi penghalang bagi pelajar yang layak.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada anda mahu mengambil peluang tersebut atau tidak,” ujarnya.

Beliau berkata, pendidikan tinggi bukan sekadar peluang memperoleh kelayakan akademik, malah menjadi instrumen mobiliti sosial untuk membantu generasi muda meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga.

Dalam pada itu, Dr Annuar menggalakkan pelajar memilih bidang pengajian yang selari dengan keperluan ekonomi Sarawak, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, perkembangan teknologi baharu dan pembangunan industri berasaskan teknologi di Sarawak dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan.

“Teknologi baharu sedang berkembang dengan sangat pesat. Dalam erti kata lain, peluang pekerjaan dalam bidang-bidang ini juga semakin luas.

“Sarawak sendiri sedang memberi penekanan kepada teknologi baharu dan pembangunan industri berasaskan teknologi. Sebab itu kita memberi tumpuan kepada program-program STEM,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar luar bandar supaya tidak berasa rendah diri berbanding pelajar dari kawasan bandar kerana keupayaan seseorang tidak ditentukan oleh tempat asal.

Pada masa sama, katanya, kerajaan Sarawak sedang meneliti pendekatan untuk memberikan pendedahan industri kepada pelajar sejak tahun pertama pengajian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan bersama empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak iaitu ICATS, Curtin University Malaysia, Swinburne University dan UTS.

“Pelajar perlu mendapat pendedahan kepada industri sejak tahun pertama pengajian supaya mereka dapat menyesuaikan diri dan memperoleh pengalaman lebih awal.

“Lebih penting lagi, latihan ini memberikan peluang kepada anda untuk membuktikan kepada pihak industri bahawa anda mempunyai kemampuan dan boleh dipertimbangkan untuk pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, lebih 160 pelajar yang menyertai bengkel berkenaan diingatkan supaya memanfaatkan tempoh 65 hari sebelum peperiksaan SPM bagi memperkukuh pencapaian akademik.

Dr Annuar berkata, keputusan pelajar masih boleh berubah sekiranya mereka memberikan tumpuan, melakukan latihan secara konsisten serta mendapatkan bimbingan guru.

“Dalam tempoh 65 hari ini, anda masih boleh mengubah keputusan daripada C kepada A.

“Dengan bantuan guru-guru, dengan bantuan bengkel ini dan dengan usaha anda sendiri, saya sangat yakin anda mampu melakukannya,” katanya.

Beliau turut menggesa pelajar memberi perhatian terhadap Matematik dan Sains serta memperbanyak latihan menggunakan soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting, wakil Pegawai Daerah Selangau Chua Siong Wei, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Selangau Ringgit @ Gawan Saut dan Pengetua SMK Ulu Balingian Echi Tom.

Sekolah di Lubok Antu dibuka semula esok

KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah dalam pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu di Bahagian Sri Aman yang terjejas

Bakar sampah, api merebak ke rumah

MIRI: Tindakan membakar sampah hampir mengundang padah apabila api merebak ke sebuah rumah di Taman Fuu Tee, Lorong 5, di