10A+ dan PNGK 4.00, namun impian Rayn jadi doktor masih tergantung

Facebook
WhatsApp
KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diraih Rayn.

KUCHING: Memiliki keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam program matrikulasi belum mampu membawa Rayn, 19, ke bidang perubatan yang menjadi impiannya sejak kecil.

Rayn, yang hanya mahu dikenali dengan nama itu, merupakan anak kelahiran Sarikei dan lepasan Kolej Matrikulasi Sarawak.

Beliau memohon program perubatan menerusi sistem UPU dengan meletakkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pilihan pertama dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebagai pilihan kedua.

Namun, kedua-dua permohonannya tidak berjaya sebelum rayuan yang dikemukakan selepas itu turut ditolak.

Lebih mengecewakan, Rayn berkata, beliau turut mendapatkan surat sokongan daripada wakil rakyat tempatan bagi membantu permohonan rayuannya, namun ia masih tidak mengubah keputusan yang diterima.

“Saya benar-benar sedih dan, secara jujurnya, patah hati apabila mengetahui rayuan saya tidak berjaya.

“Saya masih berharap rayuan itu akan memberikan saya satu lagi peluang untuk meneruskan jalan yang sudah saya usahakan selama bertahun-tahun,” katanya.

KEPUTUSAN Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam program matrikulasi diraih Rayn.

Bagi Rayn, penolakan itu bukan sekadar mengenai kegagalan mendapat tempat di universiti, sebaliknya membuatkan beliau tertanya-tanya apakah masih ada jalan untuk mengejar cita-cita yang sudah dipersiapkannya sekian lama.

Katanya, selepas mencurahkan begitu banyak usaha, masa dan dedikasi dalam pelajaran, keputusan berkenaan amat sukar diterima.

“Untuk satu tempoh, saya berasa hilang arah dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan seterusnya kerana menjadi doktor adalah matlamat yang benar-benar saya persiapkan diri untuk capai.

“Saya tahu perjalanan untuk menjadi doktor sangat mencabar dan memerlukan kerja keras, ketahanan serta pengorbanan. Tetapi saya bersedia untuk semua itu,” katanya.

Minat Rayn terhadap bidang perubatan bukan sekadar cita-cita zaman kanak-kanak, sebaliknya berkembang melalui beberapa pengalaman peribadi yang meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Ketika berusia 13 tahun, Rayn kehilangan neneknya akibat penyakit terminal.

Pada usia yang masih muda, beliau menyaksikan keluarganya berdepan keputusan sukar untuk menerima perintah Jangan Resusitasi (DNR) bagi mengurangkan penderitaan neneknya.

“Pada ketika itu, saya berasa tidak berdaya. Tetapi saya dapat melihat bagaimana doktor menyokong bukan sahaja pesakit, malah keluarga yang melalui saat yang sangat sukar.

“Mereka menunjukkan belas kasihan dan profesionalisme ketika berdepan keputusan yang begitu berat. Pengalaman itu kekal dalam ingatan saya dan membuatkan saya melihat profesion doktor dengan cara yang berbeza,” katanya.

Pengalaman ibunya menjalani kelahiran secara pembedahan Caesarean turut memberi kesan kepada Rayn apabila beliau menyedari kepentingan kepakaran perubatan dalam memastikan keselamatan ibu dan bayi.

Dalam masa sama, perjalanan abangnya yang kini menjalani latihan siswazah perubatan memberinya gambaran lebih dekat mengenai realiti kehidupan dalam profesion berkenaan.

Melihat sendiri cabaran dan pengorbanan yang perlu dilalui abangnya tidak mematahkan semangat Rayn, sebaliknya menguatkan lagi keazamannya untuk menjadi doktor.

“Melihat perjalanan abang saya memberi saya gambaran sebenar mengenai tuntutan profesion ini dan pada masa sama menguatkan lagi tekad saya untuk menjadi seorang doktor,” katanya.

Rayn berkata, beliau tidak meminta prosedur kemasukan diketepikan atau diberikan keistimewaan, sebaliknya hanya berharap dapat mengetahui sekiranya masih terdapat laluan lain yang boleh diterokai untuk merealisasikan impiannya.

“Saya bukan meminta prosedur dilangkau. Saya cuma berharap untuk mengetahui sama ada masih ada pilihan atau peluang yang boleh saya terokai.

“Saya masih mahu menjadi doktor,” katanya.

Sehubungan itu, Rayn berharap kisahnya dapat mendapat perhatian pihak berkaitan, termasuk institusi pendidikan, pihak berkuasa dan pembuat dasar yang mungkin dapat memberikan panduan mengenai pilihan yang masih tersedia untuk pelajar dalam situasinya.

Bagi Rayn, keputusan rayuan itu mungkin telah menutup satu pintu, namun beliau masih berharap ada pihak yang dapat menunjukkan jalan lain untuknya meneruskan impian tersebut.

Oleh Shahrul Qaizat