LUBOK ANTU: Sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam sekatan jalan raya menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Sarikei berhampiran Engkilili, petang semalam.
Operasi tersebut diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan penglibatan seramai 20 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan pihak polis untuk menurunkan kadar jenayah indeks, selain mencegah dan membanteras kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Pada masa sama, operasi itu turut memberi penekanan terhadap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis memeriksa sebanyak 118 buah kenderaan yang terdiri daripada pelbagai jenis bagi memastikan setiap kenderaan dan pengguna mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Selain pemeriksaan kenderaan, seramai 125 individu turut diperiksa oleh pasukan polis sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan dan pengesanan awal terhadap sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan awam.
IPD Lubok Antu menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan operasi serta penguatkuasaan undang-undang secara berterusan, termasuk ketika berdepan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.
Usaha tersebut penting bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman masyarakat di Daerah Lubok Antu terus terpelihara, selain mencegah sebarang ancaman jenayah dan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang.
Oleh Adi Safarman





