KUCHING: Lembaga Lada Malaysia (MPB) membimbing 77 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dalam usaha memperkukuh pembangunan produk hiliran berasaskan lada.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usahawan terbabit berjaya menghasilkan sebanyak 220 produk runcit berasaskan lada, sekali gus memperlihatkan potensi industri itu untuk berkembang melangkaui penjualan komoditi mentah.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 11 PMKS mencapai Tahap 4 Program Penarafan Keusahawanan Lada dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa, manakala 42 PMKS menerima manfaat pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.
“Nilai jualan terkumpul produk hiliran usahawan bimbingan MPB dianggarkan sekitar RM20 juta setahun. Ini menunjukkan bahawa industri lada mempunyai potensi yang lebih besar apabila produk hiliran terus dibangunkan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Huang Tiong Sii pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Lada Malaysia di sini, malam ini.
Beliau berkata, produk berasaskan lada kini bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman, malah merangkumi produk penjagaan diri serta produk berasaskan ekstrak dan minyak pati.
Katanya, penyelidikan dan pembangunan juga perlu diterjemahkan kepada produk yang boleh dikomersialkan dengan hasil penyelidikan disampaikan kepada usahawan sebelum dibangunkan dan seterusnya dibawa ke pasaran.
Dalam pada itu, MPB turut memperluas penggunaan teknologi bagi membantu pekebun mengurus tanaman dengan lebih mudah dan tepat menerusi aplikasi seperti Dr. LADA, LadaGo dan NutriLada untuk mengenal pasti penyakit, serangga perosak serta masalah nutrisi tanaman.
Penggunaan teknologi turut merangkumi sistem fertigasi berasaskan Internet Kebendaan (IoT), dron dan teknologi hiperspektral, selain kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia dalam penggunaan teknologi penderiaan jauh serta data geospatial bagi membantu perancangan industri.
Pada masa sama, MPB terus memberi perhatian terhadap reputasi Lada Sarawak di pasaran antarabangsa termasuk memastikan produk memenuhi standard negara pengimport, khususnya Jepun yang kekal sebagai antara destinasi eksport utama lada Malaysia.
Perlindungan Petunjuk Geografi Lada Sarawak turut disifatkan penting bagi menjaga nama, kualiti dan keyakinan terhadap produk berkenaan, selain memastikan kedudukannya terus terpelihara di pasaran antarabangsa.
Majlis berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Setia sebagai penghargaan terhadap prestasi, disiplin, komitmen serta khidmat bakti warga MPB.
Oleh Norman B



