Sarawak-KPK perkukuh kerjasama, permudah bantuan kepada pekebun kecil

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, di Spaoh hari ini. Foto Pejabat Timbalan Premier

SPAOH: Kerajaan Sarawak dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh kerjasama dalam menyelaras pembangunan sektor agrikomoditi bagi memastikan bantuan serta manfaat kepada pekebun kecil di negeri ini dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu antara fokus utama ketika menerima kunjungan hormat Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, di sini hari ini.

Menurutnya, penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara kerajaan negeri dengan KPK penting bagi memastikan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran tanpa menghadapi kekangan yang tidak perlu.

“Yang penting ialah kita dapat menyelaraskan dasar dan pelaksanaan di peringkat negeri supaya bantuan di bawah KPK dapat sampai kepada pekebun kecil dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, perkembangan sektor lada turut dibincangkan menerusi pembentangan Lembaga Lada Malaysia (MPB), termasuk usaha memperkukuh potensi komoditi berkenaan sebagai antara sektor penting kepada ekonomi Sarawak.

Perbincangan turut memberi perhatian kepada aspek pensijilan antarabangsa bagi minyak sawit bagi memastikan hasil komoditi itu terus memenuhi piawaian serta keperluan pasaran antarabangsa yang semakin menekankan aspek kelestarian dan kebolehjejakan.

Pada masa sama, pembangunan produk hiliran berasaskan kelapa sawit turut diberi perhatian, khususnya usaha memanfaatkan produk sampingan minyak sawit untuk menghasilkan produk bernilai tambah seperti biodiesel

“Selain pengeluaran komoditi, kita juga perlu melihat bagaimana produk sampingan kelapa sawit dapat dimanfaatkan dan diproses menjadi produk bernilai tambah, termasuk biodiesel,” katanya.

Pertemuan itu turut menyentuh perkembangan pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) bagi sektor lada di Sarawak yang difasilitasi Jabatan Pertanian Sarawak.

Antara perkara lain yang memerlukan penyelarasan lanjut termasuk pelaksanaan BUDI Agri-Komoditi, isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), status tanah serta usaha memperkukuh sistem kebolehjejakan rantaian bekalan agrikomoditi di Sarawak.

Kerjasama antara kerajaan Sarawak dan KPK itu diharap dapat memperkemas tindakan susulan berkaitan sektor agrikomoditi, khususnya dalam menangani keperluan pekebun kecil serta memperkukuh pembangunan industri berasaskan komoditi di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii; Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Dato Anyi Ngau; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; dan Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Oleh Adi Safarman