SIMANGGANG: Keperluan memperluaskan kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir diberi perhatian bagi memastikan kemudahan berkenaan terus mencukupi untuk kegunaan penduduk setempat pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, perkara itu antara keperluan masyarakat yang wajar diberi perhatian, khususnya dalam memastikan kawasan perkuburan dapat diurus dengan baik dan teratur.
Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan meninjau sendiri keadaan tapak yang terlibat dalam cadangan projek perluasan tanah perkuburan tersebut.
“Tinjauan ini memberi ruang untuk melihat sendiri keadaan tapak serta membincangkan keperluan perluasan bagi menampung kegunaan penduduk pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tanah perkuburan Kampung Hilir bersama Penghulu serta pihak Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir, hari ini.
Dayang Noorazah berkata, penyediaan kawasan perkuburan yang mencukupi dan terurus merupakan satu keperluan penting kepada masyarakat setempat.

Katanya, perancangan awal amat penting bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat memenuhi keperluan penduduk, selain menjamin pengurusan kawasan perkuburan yang lebih sistematik.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Masyarakat, Ketua Kaum serta Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.
Beliau berkata, usaha berterusan mereka dalam menjaga serta mengurus tanah perkuburan berkenaan amat dihargai kerana ia memberi manfaat kepada seluruh komuniti.
Dayang Noorazah berharap kerjasama antara pihak berkaitan dapat terus diperkukuh bagi memastikan keperluan masyarakat setempat, termasuk aspek kemudahan tanah perkuburan, sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.
Oleh Adi Safarman





