Bomba bertungkus-lumus, tinggal 0.5 hektar baki kebakaran di STOLport Bebuling

Facebook
WhatsApp
OPERASI pemadaman memasuki hari kelima hari ini, dengan sebanyak 7.5 hektar daripada keseluruhan lapan hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan. Foto PGO Bomba Sarawak

SPAOH: Operasi pemadaman kebakaran hutan di kawasan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling terus dilaksanakan apabila memasuki hari kelima hari ini, dengan sebanyak 7.5 hektar daripada keseluruhan lapan hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi yang bermula pada 13 September lalu itu masih diteruskan bagi memadam baki 0.5 hektar kawasan yang masih terbakar.

Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong terlibat dalam operasi berkenaan dengan sokongan sebuah Fire Rescue Water Tanker (FRWT), sebuah kenderaan Toyota Hilux dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Ketua BBP Betong, PPgB Muhd. Badrulamin Mohd. Fodzi, merupakan pegawai kanan yang berada di lokasi bagi menyelia gerak kerja pemadaman.

OPERASI turut menerima kunjungan Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian. Foto PGO Bomba Sarawak

Pada sebelah pagi, pasukan pertama menjalankan pemadaman di bahagian dalam kawasan Sektor A menggunakan tangki semburan, manakala pasukan kedua melaksanakan pemadaman di Sektor B dengan memanfaatkan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

Pada sebelah petang pula, kedua-dua pasukan meneruskan operasi di Sektor D menggunakan sebuah pam dengan satu aliran sepanjang 1,000 kaki, dengan sumber air diperoleh dari kawasan takungan (dam) dan FRWT.

FRWT turut membuat satu pengambilan air daripada pili bomba di kawasan STOLport bagi menampung keperluan operasi, susulan sumber air di lokasi kejadian yang terhad.

Operasi turut berdepan cabaran apabila sumber air berhampiran hanya bergantung kepada air parit, selain jarak pili bomba yang agak jauh dari kawasan kebakaran.

ANGGOTA BBP Betong menjalankan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran hutan berhampiran STOLport Bebuling, Spaoh. Foto PGO Bomba Sarawak

Pada 3.00 petang, operasi berkenaan turut menerima kunjungan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.

Selain JBPM, operasi turut mendapat sokongan agensi lain termasuk 11 anggota RELA, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta sebuah jentera Kobelco, bagi membantu usaha memadam kebakaran dan mengawal keadaan di kawasan terbabit.

PGO JBPM Sarawak memaklumkan operasi kini masih bersambung, dengan pasukan bomba terus memberi tumpuan kepada baki kawasan kebakaran bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.

Oleh Adi Safarman