KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak melanjutkan waktu operasi empat pintu masuk sempadan di zon utara Sarawak-Brunei Darussalam selama tiga hari bermula esok.
Menurut notis pemakluman JIM Sarawak bertarikh hari ini, lanjutan waktu operasi itu berkuat kuasa dari esok hingga 20 September 2026, iaitu Jumaat hingga Ahad.
Empat pintu masuk sempadan yang terlibat ialah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap, Lawas; ICQS Pandaruan dan ICQS Tedungan, Limbang; serta ICQS Sungai Tujoh, Miri.
Sepanjang tempoh berkenaan, waktu operasi pintu-pintu masuk tersebut dilanjutkan dari 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
JIM Sarawak dalam notis itu memaklumkan lanjutan berkenaan membabitkan Pos Kawalan Sempadan Imigresen Zon Utara Sarawak bagi tempoh yang ditetapkan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan menerusi Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM melalui saluran rasmi jabatan.
Oleh Afiq Sallehi





