MUKAH: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.37 gram di kawasan Kuala Balingian, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Mukah kira-kira 1.45 petang.
“Suspek yang menunggang motosikal seorang diri itu ditahan selepas pergerakannya didapati mencurigakan. Semasa pemeriksaan hendak dijalankan, suspek dikesan membuang sebuah kotak rokok ke dalam semak di tepi jalan.
“Pemeriksaan terhadap kotak rokok itu kemudian menemukan satu keratan straw plastik berwarna kuning yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu. Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 0.37 gram,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.
Muhamad Rizal berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh kasar itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk diserahkan kepada BSJN bagi tindakan dan siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
“Suspek yang mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah direman selama empat hari sehingga 21 September ini bagi melengkapkan siasatan,” tegasnya.
Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah kekal komited membanteras segala aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menghubungi IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman





