Stor rampasan baharu kastam Kuching perkukuh pengurusan barang rampasan

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN PROJEK... Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, Kuching, Sarawak bernilai RM9.98 juta yang dilaksanakan JKR Malaysia dan menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 26 Mei 2026, turut kelihatan Dato’ Sri Nancy Shukri. Foto facebook Alexander Nanta Linggi

KUCHING: Pengurusan barang rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sarawak kini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, selamat dan terkawal menerusi kemudahan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kemudahan baharu bernilai RM9.98 juta itu mampu mengurangkan kebergantungan JKDM kepada premis sewaan serta memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara.

“Dengan fasiliti baharu ini, pengurusan barang rampasan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, selamat dan terkawal, di samping mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan serta memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan stor rampasan tersebut kepada JKDM, di sini hari ini. 

Nanta berkata pembinaan stor baharu itu penting memandangkan kemudahan sedia ada digunakan JKDM merupakan premis sewaan pihak swasta dan tidak lagi mampu menampung keperluan operasi yang semakin meningkat.

Projek itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menerusi Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), bermula 14 Mei 2024 dengan sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) projek berkenaan dikeluarkan pada 26 Mei lepas.

Beliau berkata kemudahan itu merangkumi bangunan pejabat operasi dan stor rampasan dilengkapi tiga unit ruang penyimpanan, bilik kebal, bilik eksibit, ruang pembakaran terbuka serta sistem penyimpanan lebih sistematik dan selamat.

Nanta berkata projek berkenaan turut mengadaptasi pendekatan Plan Pra-Lulus(PAP) JKR Malaysia melalui reka bentuk stor rampasan kastam di Seremban, Negeri Sembilan, bagi mempercepatkan proses reka bentuk dan pelaksanaan projek.

“Pendekatan ini turut menyeragamkan standard reka bentuk kerajaan dan mengoptimumkan penggunaan sumber tanpa menjejaskan keselamatan serta kualiti,” katanya menambah pembinaanya turut menerapkan elemen agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). – Bernama