KUCHING: Seorang lelaki berusia 48 tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik ketika rumah dua tingkat di Lorong 5C1, Temenggong Haji Gobil, di sini, terbakar pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Komander Operasi, PBK I Pandi Seh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.08 pagi sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kayu dan konkrit berkeluasan kira-kira 30 x 50 kaki persegi, dengan bahagian dapur terbakar dianggarkan membabitkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan struktur.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada 10.22 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan pasca kebakaran, anggota bomba menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak kemudian menghubungi KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maklumat awal bomba menyatakan mangsa dipercayai mengalami sesak nafas akibat terhidu asap, namun punca sebenar kematian masih menunggu pengesahan lanjut.
Operasi membabitkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (FRT) Petra Jaya dengan sokongan lima Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dan tiga URVAN.
Oleh Afiq Sallehi




