Dari 73km ke 28km, Jambatan Batang Lupar 2 ubah landskap perhubungan Wilayah Tengah

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter yang kini memperkukuh jaringan perhubungan antara Sri Aman dan Betong.

SIMANGGANG, 1 November: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur Sarawak, sekali gus membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan jaringan pengangkutan di wilayah tengah negeri ini.

Selepas sekian lama dinantikan masyarakat, projek bernilai RM223.633 juta itu bukan sekadar menyediakan laluan baharu merentasi Batang Lupar, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan Jalan Utama Kedua Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya dari seluruh negeri.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, kewujudan jambatan tersebut berjaya memendekkan jarak perjalanan antara kawasan terlibat daripada 73 kilometer kepada hanya 28 kilometer, sekali gus mengurangkan masa perjalanan kepada kurang daripada setengah jam.

Menurutnya, kemudahan itu dijangka merancakkan aktiviti ekonomi antara Sri Aman dan Betong dengan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pertanian dan perkhidmatan.

“Pengeluar hasil pertanian kini dapat menghantar produk mereka ke pusat pengumpulan dan pasaran dalam tempoh yang lebih singkat.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah membantu meningkatkan daya saing produk tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Selain sektor ekonomi, jambatan tersebut turut dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan. Sri Aman dan Betong mempunyai pelbagai destinasi menarik serta keunikan tersendiri.

Dengan akses yang lebih mudah dan pantas, lebih ramai pelancong dijangka mengunjungi kedua-dua bahagian berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Lupar 2 berlangsung semalam dan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dari sudut kejuruteraan, Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter itu dibina menggunakan reka bentuk cable-stayed atau jambatan kabel penahan.

Jambatan berkenaan mempunyai dua menara berketinggian 145.5 meter serta rentang utama sepanjang 450 meter, manakala laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter disediakan bagi membolehkan kapal melalui Sungai Batang Lupar dengan selamat.

Jambatan itu dibina mengikut piawaian JKR R5 bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, lancar dan selamat kepada pengguna.

Manfaat projek berkenaan turut diperkukuh menerusi pembukaan Jalan Lidong sepanjang kira-kira 27.84 kilometer yang menghubungkan jambatan tersebut dengan persimpangan Betong di Lebuhraya Pan Borneo.

Projek itu merangkumi pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada daripada piawaian JKR R3 kepada JKR R5 serta pembinaan dua jambatan tambahan.

Gabungan Jambatan Batang Lupar 2 dan Jalan Lidong dilihat sebagai rangkaian infrastruktur strategik yang mampu mempercepatkan pergerakan kenderaan, memudahkan urusan harian penduduk serta mengurangkan kos logistik.

Pada masa sama, kemudahan tersebut dijangka mempercepatkan penghantaran hasil pertanian ke pusat pemprosesan dan pemasaran, sekali gus meningkatkan produktiviti sektor pertanian yang menjadi antara tunjang ekonomi kawasan luar bandar.

Kehadiran Jambatan Batang Lupar 2 turut menambah satu lagi mercu tanda infrastruktur di kawasan Sungai Batang Lupar, yang kini menempatkan dua jambatan.

Kewujudan kedua-dua jambatan berkenaan bukan sahaja memperkukuh jaringan pengangkutan, malah mencerminkan pembangunan infrastruktur moden di Sarawak.

Dengan pembukaan Jambatan Batang Lupar 2, masyarakat kini menikmati akses perjalanan yang lebih baik, selain menaruh harapan agar infrastruktur strategik itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan lebih seimbang antara Sri Aman dan Betong pada masa hadapan.

Oleh Adi Safarman