KUCHING: Penyertaan penduduk dari kampung dan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Landeh dalam pertandingan memancing anjuran Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya membuktikan aktiviti berasaskan komuniti masih menjadi wadah berkesan untuk menyatukan masyarakat.
Berlangsung bersempena sambutan Hari Malaysia, pertandingan itu bukan sahaja menghimpunkan kaki pancing, malah membuka ruang kepada penduduk pelbagai latar belakang untuk berkenalan, mengeratkan hubungan kejiranan dan membina semangat kekeluargaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, program seperti itu mempunyai nilai kemasyarakatan yang lebih besar daripada sekadar aktiviti riadah.
“Pertandingan ini menghimpunkan masyarakat daripada kampung dan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Landeh, mengeratkan hubungan antara jiran serta memberi ruang kepada generasi muda dan yang lebih berusia untuk bergaul dan mengenali antara satu sama lain.
“Menang atau kalah bukan perkara utama. Yang penting ialah semangat kesukanan, persahabatan dan kenangan yang kita bawa pulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Pertandingan Memancing Ikan anjuran Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya, Kampung Paya Mebi, di Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya, di sini, petang semalam.


PENYAMPAIAN hadiah kepada pemenang pertandingan memancing yang menghimpunkan peserta dari kampung dan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Landeh, Kuching, petang semalam.
Menurutnya, penganjuran program sempena Hari Malaysia turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan memelihara perpaduan dalam negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
“Bagi kita di Sarawak, Hari Malaysia mempunyai makna yang amat besar. Ia mengingatkan kita tentang sejarah pembentukan negara serta pentingnya kerjasama, saling menghormati serta perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Senator Ahmad berkata, semangat Segulai Sejalai yang menjadi amalan masyarakat Sarawak perlu terus dipertahankan melalui aktiviti kemasyarakatan yang membolehkan penduduk duduk, bergaul dan bekerjasama tanpa mengira perbezaan latar belakang.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti setempat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab memelihara sungai dan sumber perikanan darat yang menjadi sumber makanan serta pendapatan kepada sebahagian penduduk.
Katanya, sungai bukan sekadar lokasi pertandingan, sebaliknya aset alam sekitar yang perlu dijaga supaya terus memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

“Kita perlu mengelakkan pencemaran, tidak membuang sampah dan plastik ke dalam sungai serta memastikan sumber ikan terus terpelihara. Menjaga alam sekitar bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, jawatankuasa, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan pertandingan berkenaan.
Ahmad berharap Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya terus memainkan peranan aktif sebagai wadah menyatukan masyarakat serta memperjuangkan kepentingan komuniti nelayan darat di kawasan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan pertandingan berkenaan, termasuk ADUN Batu Kitang, Dato’ Ir. Lo Khere Chiang; Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Cr Mahmud Ibrahim; Cr Shamsudin Unai; Ketua kaum Ismail Tangok; Imam Morshidi; Kawi; Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya Ustaz Ebby Fazree Zailani serta barisan jawatankuasa, sukarelawan dan peserta.
Oleh Afiq Sallehi





