Pelajar rugi RM1,000 ditipu sindiket menyamar pegawai SKMM

Facebook
WhatsApp

BAU: Seorang pelajar berusia 23 tahun kerugian RM1,000 selepas diperdaya menerusi panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali kira-kira 9.30 pagi pada 4 September lalu ketika berada di Kampung Bogag, Bau.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes judi dalam talian dan memberitahu telefon bimbitnya akan disekat.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor, sebelum mangsa dimaklumkan oleh individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya.

Mangsa kemudian diarahkan melapor diri sebanyak empat kali sehari dengan memberikan nombor kad pengenalan, masa dan lokasi keberadaannya setiap kali membuat laporan.

Mangsa turut diminta membayar RM1,000 kononnya bagi tujuan audit.

Haide berkata, pada kira-kira 1.12 petang hari yang sama, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian daripada akaun bank miliknya menerusi aplikasi BIMB Mobile ke sebuah akaun atas nama individu lain.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa menyedari dirinya telah ditipu dan mengalami kerugian RM1,000,” katanya.

Semakan mendapati akaun bank terbabit mempunyai dua rekod terdahulu, manakala nombor telefon yang digunakan suspek tidak mempunyai sebarang rekod.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bau pada 16 September dan turut menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Oleh Connie Chieng

Video gaduh tular, tiga lelaki ditahan

MIRI: Tiga lelaki tempatan ditahan dalam tempoh kira-kira sejam selepas polis mengesan video pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Marina