PETRA JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menegaskan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat perlu dipertingkatkan, namun tidak menyebut secara khusus bahawa nisbah satu pertiga telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu dinyatakan Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini, selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga.
Dalam ucapannya, Anwar sebaliknya mengulangi bahawa keputusan Jemaah Menteri setakat ini adalah untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, dengan sebarang penambahan itu mesti meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri berkenaan berbanding kedudukan semasa.
“Dalam MA63, semasa Singapura bersama, ada kerusi Parlimen satu pertiga. Terpenuhi daripada 1963, Singapura keluar 1965, belum lagi ada penyelesaian.
“Jadi peringkat pertama, keputusan Jemaah Menteri ialah bersetuju tentang penambahan kerusi Parlimen dalam penyusunan semula yang akan datang ini bertambah untuk Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama,” katanya.
Menurut Anwar, pemimpin Sabah dan Sarawak sebelum ini menegaskan bahawa penambahan kerusi semata-mata tidak memadai sekiranya nisbah perwakilan kedua-dua negeri tidak turut meningkat.
“Mereka kata, ‘Saudara Anwar, tambah terima kasih. Tapi kalau tambah di sini sama dengan bertambah di Semenanjung, atau tambah sini sedikit tambah sana banyak, itu bukan tambah ertinya.’

“Bila ada penambahan itu, nisbah penyertaan Parlimen Ahli Parlimen Sabah Sarawak harus lebih baik daripada nisbah yang ada sekarang,” katanya.
Anwar berkata beliau bersetuju dengan pendirian tersebut dan itu turut dipersetujui Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah sebenar kerusi tambahan serta kaedah pelaksanaannya masih dalam rundingan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dibawa ke Parlimen.
“Cuma tentang kaedah, beberapa jumlah secara terperinci itu sedang dirundingkan dan diputuskan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menegaskan bahawa perkara berkaitan MA63 bukan isu antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional berdasarkan persetujuan yang dibuat ketika pembentukan Malaysia.
Beliau berkata pelaksanaan MA63 perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh negara secara keseluruhan.
Sementara itu, dalam ucapan beliau pada majlis sama, Abang Johari menyambut baik persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga, seperti yang termaktub dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC,” katanya.
Untuk rekod, ketika pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mempunyai 55 daripada 159 kerusi Dewan Rakyat, iaitu kira-kira 34.6 peratus. Jumlah itu terdiri daripada 24 kerusi Sarawak, 16 Sabah dan 15 Singapura.
Selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, kerusi yang diperuntukkan kepada republik itu tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak, menyebabkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri berkenaan berubah.
Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi, menjadikan keseluruhan 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat atau kira-kira 25 peratus.
Sebarang penambahan kerusi baharu perlu melalui proses perlembagaan dan persempadanan pilihan raya sebelum dapat dilaksanakan.
Oleh Masrin Affirah



