PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah baik kemudahan BUDI Diesel dengan memperluas pemindahan kelayakan subsidi kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar keluhan, rayuan dan pandangan yang disuarakan rakyat, termasuk Menteri dan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, berhubung pelaksanaan BUDI Diesel.
“Ini berdasarkan rayuan,” katanya ketika mengumumkan penambahbaikan berkenaan pada sambutan Hari Malaysia 2026 Ke-63 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Menurut beliau, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel turut dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan sehingga maksimum tiga kenderaan.
“Pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan.
“Ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Anwar berkata penambahbaikan itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang bersedia mendengar maklum balas rakyat bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar tidak menimbulkan kesulitan kepada pengguna sebenar.
“Ini ertinya demokrasi, kita dengar. Masih mengeluh, Menteri-Menteri Sabah Sarawak menyuarakan, Ahli-Ahli Yang Berhormat menyuarakan permasalahan ini. Maka saya selain daripada pengumuman bulan lalu, kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel,” katanya.
Sebelum ini, ketika BUDI Diesel mula dilaksanakan pada Julai, kerajaan menyediakan mekanisme pemindahan kelayakan kepada seorang ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan, seperti pasangan, ibu bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan.
Mekanisme itu diperkenalkan selepas kerajaan menerima maklum balas mengenai keadaan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama ahli keluarga, tetapi digunakan oleh individu lain dalam keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sebelum ini turut menaikkan semula had kelayakan asas bulanan BUDI Diesel daripada 200 kepada 300 liter mulai 1 September, manakala pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak boleh memperoleh tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
Anwar berkata langkah-langkah penambahbaikan berkenaan dibuat bagi memastikan subsidi bersasar terus mengambil kira keperluan sebenar rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian dan mencari rezeki.
Oleh Afiq Sallehi



