Imaiyam mohon kerajaan pertimbang cuti tanpa rekod Deepavali pada 10 November

Facebook
WhatsApp
PENJAWAT awam beragama Hindu yang bertugas jauh dari kampung halaman termasuk di Sabah dan Sarawak antara yang berdepan kekangan masa untuk menyambut Deepavali susulan pertindihan cuti perayaan dengan cuti umum dan cuti gantian.

PUTRAJAYA, 31 Oktober: Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti tanpa rekod (CTR) kepada penjawat awam beragama Hindu pada Selasa, 10 November susulan pertindihan cuti perayaan Deepavali dengan cuti umum dan cuti gantian.

Pengerusi Imaiyam, Dr Sathiskumar K. Muthusamy berkata permohonan itu bukan bertujuan mendapatkan kemudahan baharu, sebaliknya memastikan kemudahan CTR Hari Deepavali yang diperuntukkan kerajaan sebelum ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh penjawat awam beragama Hindu.

“Deepavali tahun ini jatuh pada Ahad dan Isnin telah diisytiharkan sebagai cuti ganti. Akibatnya, hari yang biasanya digunakan untuk CTR bertindih dengan cuti umum dan kemudahan CTR tidak dapat dinikmati.

“Permohonan kami iaitu CTR berkenaan dibenarkan pada hari Selasa, 10 Nov. Kerajaan pernah membuat keputusan sama pada 2023 dalam keadaan yang serupa. Kami yakin kerajaan akan terus konsisten dengan pendekatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Dr Sathiskumar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak perlu mewujudkan dasar baharu kerana kemudahan CTR Hari Deepavali sudah tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM).

Sebaliknya, JPA hanya perlu mengeluarkan surat edaran bagi membenarkan CTR berkenaan dibawa ke hari bekerja berikutnya, sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan pada 2023.

Beliau berkata Imayam turut menerima pertanyaan dan maklum balas daripada ahli berhubung kekangan masa cuti Deepavali, khususnya dalam kalangan penjawat awam yang bertugas jauh dari kampung halaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Dr Sathiskumar berkata Imayam berpandangan bahawa prinsip keadilan perlu menjadi asas dalam mempertimbangkan kemudahan cuti perayaan bagi semua penjawat awam tanpa mengira agama dan kaum.

“Ini bukan soal memberi kelebihan kepada mana-mana kaum atau agama. Ini soal memastikan kemudahan yang telah diluluskan oleh kerajaan benar-benar dapat dinikmati tanpa mengira kedudukan perayaan dalam kalendar,” katanya.

Mulai 2018, kerajaan memperuntukkan CTR sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya kepada penjawat awam beragama Hindu sebagai cuti umum tambahan bagi membolehkan perayaan itu disambut bersama-sama keluarga.- Bernama