KUCHING: Kerjasama rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkasa menerusi Ops Lintas Batas Malaysia–Indonesia 2026 yang dilaksanakan dari 10 September hingga semalam di kawasan Aruk–Biawak serta kawasan sempadan.
Operasi anjuran bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan agensi penguatkuasaan dan rakan strategik kedua-dua negara itu menjadi platform penting bagi memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan serta usaha perlindungan hidupan liar di kawasan sempadan.
Seramai 98 anggota daripada 18 agensi dan organisasi Malaysia–Indonesia terlibat dalam operasi berkenaan yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan, kelestarian hutan dan hidupan liar.

Antara aktiviti utama dilaksanakan ialah rondaan bersama di kawasan sempadan dan hutan, sekatan serta pemeriksaan di lokasi strategik, selain pemantauan laluan rentas sempadan bagi mencegah kegiatan penyeludupan.
Operasi turut memberi penekanan kepada perkongsian maklumat dan risikan antara agensi bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih bersepadu serta berkesan.
Dalam masa sama, aspek kesedaran masyarakat turut diberi perhatian menerusi Program ‘1000 Site Visit’, yang melibatkan kunjungan dan sesi kesedaran bersama komuniti di kawasan sempadan.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan melindungi hidupan liar, memelihara hutan serta menjaga khazanah alam semula jadi untuk kepentingan generasi akan datang.

Pelaksanaan Ops Lintas Batas 2026 sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan, khususnya dalam menangani ancaman terhadap hidupan liar dan sumber alam sekitar.
Kerjasama strategik melibatkan agensi kedua-dua negara itu juga dilihat penting bagi memastikan kawasan sempadan terus dipantau secara bersepadu, di samping memperkukuh peranan komuniti sebagai rakan dalam usaha pemuliharaan alam dan hidupan liar.
Oleh Adi Safarman





