SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran belukar membabitkan kawasan gambut di Jalan Kejatau, semalam memasuki hari kedua dengan pasukan bomba berjaya memadam kebakaran dianggarkan seluas 1.5 hektar.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, operasi yang dijalankan semalam itu mendapati kebakaran masih berlaku secara bertompok di sekitar kawasan yang dilaporkan terbakar.
Pasukan diketuai PBK I Mohd Fadhli Buyong menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 304.8 meter, satu alat pembahagi aliran air serta dua nozel.

Sumber air terbuka dari parit turut digunakan menerusi pam angkut GP10/10, manakala kerja-kerja mengorek parit dilaksanakan oleh kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman bagi membantu mendapatkan bekalan air untuk operasi.
Bagi mengelakkan api merebak ke kawasan yang masih belum terbakar, kontraktor JPS turut menyediakan jalur pemisah api di lokasi berkenaan.
Sepanjang operasi hari kedua, pasukan bomba melaksanakan kaedah ‘total flooding’ di kawasan terbakar seluas sekitar 3.3 hektar, dengan anggaran keluasan kebakaran yang berjaya dipadamkan mencapai 1.5 hektar.

Operasi bagaimanapun ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan kawasan kebakaran yang masih berbaki terletak jauh dari titik pementasan.
Pasukan akan meneruskan operasi pada keesokan hari dari titik pementasan baharu sebelum kembali ke balai selepas semua peralatan selesai dikemas.
Antara cabaran dihadapi pasukan bomba ialah sumber air terbuka yang terhad, khususnya bekalan air dari parit di kawasan berkenaan.
Dalam operasi itu, BBP Sri Aman menggerakkan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah Toyota Hilux ke lokasi yang terletak sekitar 15 kilometer dari balai.
Oleh Adi Safarman




