Sawa batik tiga meter muncul dekat Rimba Cafe ditangkap anggota APM

Facebook
WhatsApp
KEHADIRAN seekor ular sawa batik sepanjang sekitar tiga meter mengejutkan penduduk apabila reptilia berkenaan ditemui menjalar berhampiran Rimba Cafe, malam tadi. Foto: APM Spaoh

SPAOH: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang sekitar tiga meter mengejutkan penduduk apabila reptilia berkenaan ditemui menjalar berhampiran Rimba Cafe, di sini malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular berkenaan pada 10.43 malam.

Susulan panggilan itu, Skuad Alpha APM Spaoh membabitkan empat anggota bersama peralatan khas menangkap ular segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi khidmat khas.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota mendapati ular sawa batik berkenaan berada di kawasan tepi longkang berhampiran premis perniagaan.

Anggota bertugas kemudian bertindak pantas mengawal reptilia tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk serta orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.

“Selepas beberapa minit berusaha, ular berkenaan akhirnya berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ular tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam sangkar khas sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh untuk tindakan selanjutnya.

Operasi menangkap ular itu berjaya diselesaikan pada 10.55 malam, sekitar 12 minit selepas pasukan APM menerima panggilan.

APM turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan berbisa atau berbahaya, khususnya di kawasan belukar, longkang dan lokasi yang berpotensi menjadi habitat reptilia.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri reptilia berbahaya sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi sedemikian.

Sebarang kecemasan atau keperluan khidmat khas boleh menghubungi APM di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman