Fahmi sampaikan Watikah Persilaan sambutan Hari Malaysia kepada Tun Wan Junaidi

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Fahmi Fadzil mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, Petra Jaya, hari ini. Foto BERNAMA

PETRA JAYA: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menyampaikan Warkah Persilaan ke sambutan Hari Malaysia 2026, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam esok.

Beliau berkata kunjungan itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini mengenai status persiapan akhir acara kemuncak itu, yang dijangka bermula pada 8.15 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam.

“Alhamdulillah, kunjungan hormat telah berjalan dengan sangat baik. Saya bersama Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyerahkan Warkah Persilaan kepada Tun bagi majlis sambutan esok.

“Semua persiapan telah dimaklumkan berjalan dengan baik. Ada beberapa aspek teknikal yang akan diperkemas dan insya-Allah acara akan berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Fahmi berkata Tun Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman luas beliau, terutamanya sewaktu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, Fahmi turut memaklumkan perkembangan penerbitan sebuah buku khas mengenai Tun Wan Junaidi oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta beberapa acara sisipan lain, termasuk majlis kesyukuran di Masjid Jamek Negeri dan Pameran Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan. 

Turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026 Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Kira-kira 5,000 orang dijangka memeriahkan Sambutan Hari Malaysia di BCCK, yang akan dihadiri Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijadual menghadiri acara bermula 8.15 malam itu. – Bernama