BAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dalam ujian saringan air kencing di daerah ini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu menjalani ujian saringan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau kira-kira 1.30 petang.
“Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Stungkor Lama, Lundu dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Op Waran Tangkap BSJND Bau Bil. 126/2026.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku kali terakhir mengambil syabu sehari sebelum ditahan.
“Tiada dadah atau barangan lain dirampas dalam operasi berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Oleh Connie Chieng




