SARIKEI: Awal Muharam merupakan hari yang amat penting bagi umat Islam kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam Islam serta iktibar di sebalik peristiwa Hijrah.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, oleh itu, teruskan berazam dan berusaha dengan lebih gigih lagi.
“Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk terus berazam dan berusaha lebih gigih lagi dan berdoa semoga segala usaha dan impian kita dapat direalisasikan.
“Dalam masa sama, semoga kita terus tidak berputus asa dan berdoa pada hari bersejarah tahun baru ini agar wabak Covid-19 dapat diputuskan rantaiannya dan seterusnya terhapus dengan segera dari muka bumi ini. Selamat menyambut Awal Muharram/ Maal Hijrah 1443 Hijrah,” katanya.
Dalam pada itu, baru-baru ini, Len Talif
telah mengadakan taklimat dan perbincangan bersama pengerusi-pengerusi masjid dan surau di pejabat Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sarikei.
“Taklimat dan perbincangan antara lain memfokuskan tentang perkembangan kerja-kerja di Tapak Perkuburan Islam Baharu Sarikei, penambahbaikan Masjid Al-Mutaqqim dan pelupusan Al Quran bertempat di pejabat Agama Islam Sarikei.
“Insyaallah, Tanah Perkuburan Baharu Sarikei boleh digunakan secara rasmi Oktober ini setelah kerja-kerja penyelenggaraan siap terutamanya kerja-kerja jalan berturap, rumah wakaf dan kemudahan-kemudahan lain,” ujarnya.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Rajang juga berkata, beliau turut meninjau status terkini pelaksanaan projek naik taraf Masjid Al- Muttaqin selepas menunaikan solat Jumaat.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan baitulmal kepada golongan asnaf.
Oleh EARL ANEK