BA’KELALAN: Usaha untuk memperkemaskan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Ba’Kelalan yang bersempadan dengan Long Midang, Kalimantan perlu disegerakan.
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato Henry Sum Agong, beliau telah menyusulkan perkara tersebut ke peringkat menteri di Putrajaya.
Namun disebabkan pandemik Covid-19, Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Sri Hamzah Zainuddin terpaksa menangguhkan lawatan ke Ba’Kelalan beberapa kali.
“Kita dimaklumkan bahawa kontraktor bertanggungjawab telah menyerah balik projek ini dan tidak sanggup meneruskan projek yang mencabar ini.
“Inilah hasilnya apabila pihak perunding mahupun pegawai dari kementerian bertanggungjawab tidak turun padang untuk melihat situasi di lapangan yang mana akhirnya projek terbengkalai,” ujarnya penuh kecewa.
Henry juga memaklumkan kelulusan bagi projek pembinaan jalan menuju ke CIQ Ba’Kelalan dari Buduk Nur Ba’Kelalan dibawah KPLB.
Oleh itu, keadaan jalan raya yang tidak baik itu akan dibina semula oleh KPLB dan Menteri KPLB sendiri dijangka akan turun padang untuk mengumumkan peruntukan bagi pembinaan jalan berkenaan nanti.
Henry Sum juga menegaskan semua projek di sempadan perlu disiapkan sebelum sempadan antarabangsa antara Kalimantan dan Sarawak dibuka semula nanti.
“Keadaan yang tidak sibuk ini perlu diambil kesempatan untuk pihak bertanggungjawab menyiapkan projek di kawasan sempadan ini dengan segera,” katanya.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas turut diiringi Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato’ Hasnul Mohammed dan Pengarah KPLB Sarawak, Suafiq Anas Abdullah, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Polis (DSP) Sila Kadong.
Oleh ADENG EDRUS