GOL jaringan Jordan Mintah membantu Terengganu FC II terus mengekalkan kemenangan selepas menundukkan Sarawak United FC 1-0 dalam aksi pusingan kedua Liga Premier 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.
Kemenangan itu sekali gus merampas kedudukan daripada Negeri Sembilan FC untuk pertama kalinya berada di kedudukan teratas Liga Premier dengan mengumpul 28 mata, dua mata mengatasi Negeri Sembilan FC, manakala Sarawak United FC kekal di tangga ketiga dengan kekal 24 mata.
Awal permainan berlangsung rancak menyaksikan tolakan Mintah hasil gerakan satu dua bersama Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit ketujuh tepat ke arah penjaga gol lawan.
Mintah kemudian menceriakan tuan rumah hasil sepakan penalti setelah penyerang kelahiran Ghana itu dijatuhkan penjaga gol Sarawak United FC, Mohd. Sharbinee Allawee, pada minit ke-19.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Kenyalang Emas bimbingan E Elavarasan memperkemaskan jentera serangannya yang diketuai bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha.
Sarawak United FC meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan ketua pasukan, Taylor Regan (m-25) disusuli percubaan Christie Jayaseelan (m-44) yang berjaya diselamatkan penjaga gol.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC II terus diasak lawan dalam usaha mengikat kedudukan dan rembatan kencang Regan dari dalam kotak penalti tinggi melepasi sasaran pada minit ke-68.
Pemain Sarawak United yang terdesak memburu gol penyamaan kerap ‘berkampung’ di kubu tuan rumah, namun gagal menembusi pintu gol skuad The Turtles itu.
Norshahrul Idlan Talaha mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69 selepas bijak meloloskan diri dengan menyelinap masuk dalam kotak penalti tetapi berjaya dihalang pertahanan, Argzim Redzovic.
Hasrat Sarawak United untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata tidak kesampaian apabila percubaan leret S. Chanturu diselamatkan penjaga gol tuan rumah pada minit ke-85.
Malang buat Terengganu FC II apabila Mintah diusung keluar pada minit ke-73 selepas mengalami kecederaan serius kerana bertembung dengan Sharbinee dan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN