KUCHING: Seramai 59 warga Indonesia ditahan dalam Ops Sapu Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak di tiga lokasi sekitar Kuching yang dijalankan semalam.
Operasi yang dijalankan hasil aduan awam serta risikan Bahagian Penguatkuasaan JIM Sarawak itu melibatkan 37 pegawai dan anggota, bermula 10.00 malam hingga 4.30 pagi.
Dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Chong Kiun Kong, Kenyalang Park, seramai 11 lelaki warga Indonesia ditahan selepas premis berkenaan disyaki menjadi lokasi kegiatan judi dalam talian yang membabitkan warga asing.
JIM memeriksa 11 individu di premis berkenaan dan menahan kesemuanya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Antara barangan yang dirampas ialah dua pasport antarabangsa Indonesia, lima set komputer tanpa jenama, lima komputer riba pelbagai jenama dan model serta 12 telefon bimbit.
Dalam serbuan kedua di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Saradise Dream, Jalan Saradise, seramai 46 warga Indonesia terdiri daripada 38 lelaki dan lapan perempuan ditahan.


ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak menerusi lima siri operasi penguatkuasaan di 13 lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan, baru-baru ini. Foto JIM Sarawak
Kesemua mereka ditahan selepas JIM memeriksa 46 individu di premis yang menjadi kediaman pekerja binaan warga asing di tapak pembinaan berkenaan serta kawasan berhampiran.
Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 28 pasport antarabangsa Indonesia turut dirampas.
Sementara itu, serbuan ketiga di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan D’Isabelle Sarawak First Green Residential, Jalan Dogan, Batu Kawa, menyaksikan dua lelaki warga Indonesia ditahan daripada 35 individu yang diperiksa.
Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tangkapan dan barangan rampasan dibawa untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.





