SARIKEI: Tiga mangsa dihantar ke Hospital Sarikei selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Sebangkoi menghala ke Sibu pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 4.19 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat kemalangan kendiri melibatkan Toyota Innova.
“Terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi mangsa lelaki dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dingat Ngadi bersama sembilan anggota bomba.
“Sebaik penilaian awal dilakukan, anggota EMRS diarahkan memberi rawatan awal kepada mangsa wanita, kemudian mengeluarkan mangsa daripada longkang,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang cedera diberikan bantuan awal di lokasi sebelum urusan membawa kesemua mereka untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut dilakukan.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.25 petang selepas tindakan di lokasi selesai dilaksanakan,” katanya.
Oleh Earl Anek




