DEBAK: Dua individu cedera selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas di selekoh tepi Jalan Simpang Dit, awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kemalangan jalan raya itu pada 12.30 pagi.
Menurutnya, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak kemudian digerakkan ke lokasi dua minit selepas menerima panggilan berkenaan.
“Pasukan tiba di lokasi pada 12.38 pagi dan mendapati sebuah kereta Proton Saga terbabas di selekoh tepi jalan.
“Dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu diberikan rawatan awal oleh anggota APM sebelum dibawa ke Klinik Debak untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa pertama yang berusia 31 tahun dari Kampung Melayu Dit itu mengalami luka calar-balar pada bahagian tangan kanan dan muka.
Mangsa kedua pula berusia 23 dari Kuching mengalami luka calar-balar pada bahagian tangan kanan.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans APM ke Klinik Debak pada 12.49 pagi dan tiba tujuh minit kemudian.
Mereka selesai mendapatkan rawatan di klinik berkenaan pada 12.58 pagi.
Operasi berkenaan membabitkan empat anggota APM dengan kekuatan sebuah ambulans pacuan empat roda serta satu beg trauma.
Jarak perjalanan pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Debak ke lokasi kejadian adalah kira-kira lima kilometer.
Operasi tamat selepas kedua-dua mangsa berjaya diberikan rawatan awal dan dihantar ke Klinik Debak untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Oleh Adi Safarman




