KKM jamin akses kesihatan pedalaman Sarawak terus dipelihara

Facebook
WhatsApp
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kesinambungan akses kesihatan penduduk pedalaman Sarawak akan terus dipelihara susulan penangguhan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di negeri itu.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penangguhan itu melibatkan tujuh pasukan FDS yang memberi liputan kepada 85 lokaliti dengan anggaran populasi sekitar 14,830 penduduk di kawasan pedalaman.

Menurut kenyataan itu, strategi serampang dua mata sedang diaktifkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan secara sistematik dan berfasa, dengan keselamatan serta kebajikan petugas kesihatan kekal sebagai keutamaan.

“Bagi memastikan kesinambungan rawatan, KKM sedang giat menilai semula program perkhidmatan kesihatan ke setiap lokaliti berdasarkan tahap kebolehcapaian dan keadaan setempat. 

“Sebagai langkah pengoptimuman, KKM kini memaksimumkan penggunaan mod pengangkutan alternatif melalui jalan darat dan jalan air,” menurut kenyataan itu. 

KKM memaklumkan sebarang kaedah alternatif hanya akan dilaksanakan selepas penilaian risiko yang merangkumi keadaan laluan, tempoh perjalanan, cuaca dan kesesuaian kenderaan mendapati kaedah berkenaan benar-benar selamat untuk petugas.

Bagi lokaliti yang berdepan kekangan akses geografi dan infrastruktur yang ketara, KKM sedang melaksanakan penyelarasan logistik khusus, termasuk bagi Pa Tik yang memerlukan perjalanan sehingga dua hari dengan berjalan kaki dari Klinik Kesihatan Bario.

Turut terjejas ialah Ba Itam, Ba Abang dan Long Tebangan yang memerlukan perjalanan antara empat hingga 10 jam dari Klinik Kesihatan Long Bedian berikutan laluan terputus dan keadaan jambatan runtuh.

“Bagi kawasan berisiko tinggi ini, serta untuk keperluan Pemindahan Perubatan kecemasan (MEDEVAC), KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

KKM dalam pada itu memaklumkan tempoh penangguhan operasi FDS bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan rasmi oleh pihak berkuasa dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan insiden itu dapat dilengkapkan secara menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, semua petugas kesihatan yang terlibat dalam pasukan FDS akan terus dilindungi berdasarkan peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam.

“KKM kini sedang melaksanakan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali, serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas. 

“Operasi ini hanya akan disambung semula setelah KKM berpuas hati secara mutlak bahawa keupayaan operasi dan sistem penyampaian ini benar-benar selamat,” menurut kenyataan itu. – Bernama