SEREMBAN: Pemergian Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Baram, Sarawak, meninggalkan duka mendalam kepada seluruh ahli keluarga yang menyifatkan beliau sebagai insan yang sukar dicari ganti.
Bapa saudara sebelah isteri Allahyarham, Hashim Mohd Harun, 58, berkata Zainol Afiq bukan sahaja seorang anak saudara dan ahli keluarga yang prihatin, malah menjadi figura ikutan serta idola kepada anak-anak saudara dalam keluarga berikutan pencapaian dan keperibadiannya yang tinggi.
“Ini memang satu kehilangan yang sangat besar untuk kami. Arwah seorang yang sangat berjaya walaupun pada usia muda. Beliau berjaya membina karakter yang amat disanjung tinggi dan menjadi idola kepada ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Bandar Baru Senawang, di sini, hari ini.
Hashim berkata anak saudaranya itu merupakan seorang yang berdedikasi dan tidak pernah mengambil mudah setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Beliau berkata Allahyarham juga amat menyayangi keluarga dan sentiasa memastikan hubungan kekeluargaan terpelihara tanpa membezakan antara keluarga sebelah sendiri mahupun keluarga isterinya.
“Arwah amat sayangkan keluarga. Bagi beliau, tidak ada beza sama ada keluarga sebelah isteri mahupun sebelah diri sendiri. Kami semua disatukan dalam satu keluarga yang cukup harmoni,” katanya yang berasal dari Pahang.
Sementara itu, keperibadian murni Allahyarham Zainol Afiq turut diakui rakan sekolahnya, Dr Muhammad Fauzan Baharum, 31, yang menyifatkan pemergian sahabatnya itu sebagai satu kejutan yang sukar diterima.
Dr Muhammad Fauzan mengenali arwah sejak tingkatan empat dan menyifatkannya sebagai seorang yang sangat mesra, peramah serta tidak pernah mempunyai sebarang perselisihan faham dengan mana-mana pihak.
“Sepanjang saya mengenali arwah, dia memang tak pernah ada masalah dengan sesiapa sama ada dengan junior mahupun senior. Beliau seorang yang sangat peramah dan sentiasa cuba membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan,” katanya.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 36, yang menyifatkan nahas helikopter yang turut melibatkan petugas kesihatan itu sebagai satu pengorbanan besar yang dipikul petugas kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Saya sangat terkejut dan berduka dengan pemergian wira negara ini. Mereka merupakan insan hebat yang telah memberi sumbangan amat besar buat negara,” katanya.
Sebagai bekas pegawai kesihatan yang pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Afifah Hidayah berkata tanggungjawab petugas kesihatan menyalurkan perkhidmatan perubatan ke kawasan pedalaman, termasuk menggunakan pengangkutan udara dan ambulans, bukan sesuatu yang mudah serta memerlukan keberanian dan komitmen tinggi.
“Bila difikirkan, cabaran seperti menaiki helikopter ke kawasan pedalaman demi membawa ubat dan bertemu pesakit adalah tugas yang amat mencabar tetapi itulah niat utama setiap petugas kesihatan, kita menjadi doktor kerana mahu membantu orang ramai,” katanya.
Dr Afifah Hidayah turut menyeru masyarakat supaya sentiasa menghargai dan menghormati pengorbanan doktor serta jururawat yang bertugas di hospital dan klinik kerajaan.
“Warga KKM menghadapi pelbagai dugaan daripada tugas ‘on-call’, pertukaran lokasi bertugas hingga kepada hubungan jarak jauh. Kita perlu sentiasa bersyukur dan menghargai mereka. Apabila datang ke hospital atau klinik kerajaan, senyumlah dan berbaik-baiklah dengan doktor serta jururawat yang sentiasa komited menjalankan tugas mereka,” katanya.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Zainol Afiq ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, dan ratusan orang ramai yang terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan.
Kapten Zainol antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.
Nahas turut mengorbankan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40 dan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33. – Bernama




