SIBU: Tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang perlu menjadi titik perubahan terhadap dasar keselamatan dan kebajikan petugas perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, berkata tragedi itu tidak seharusnya berakhir dengan ucapan takziah, sebaliknya perlu disusuli langkah konkrit bagi memperkukuh perlindungan terhadap petugas perubatan yang berdepan risiko tinggi ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan perlindungan insurans pekerjaan petugas perubatan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027.
“Disiplin fiskal dan perbelanjaan berhemah memang penting, tetapi dasar kesihatan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan berapa banyak wang yang dapat dijimatkan.
“Persoalan lebih besar ialah sama ada kerajaan benar-benar memenuhi keperluan kesihatan rakyat dan sama ada penjimatan dibuat dengan mengorbankan keselamatan petugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wong berkata risiko yang ditanggung petugas kesihatan di kawasan terpencil perlu diberi perhatian serius, khususnya di Sarawak yang mempunyai kawasan geografi luas dan penempatan berselerak.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjalankan audit serta kajian menyeluruh terhadap operasi FDS dan semua perkhidmatan perubatan berisiko tinggi.
Katanya, semakan itu perlu meliputi aspek elaun, insurans pekerjaan, latihan tindak balas kecemasan, pengangkutan, prosedur operasi standard (SOP), serta mekanisme pemeriksaan dan pemantauan keselamatan.
Menurutnya, isu elaun FDS juga perlu diberi perhatian kerana kadarnya dilaporkan masih RM30 bagi setiap perjalanan dan dikatakan tidak berubah selama kira-kira 50 tahun.
“Walaupun cadangan untuk menaikkan elaun itu dikatakan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan pada November tahun lalu, persoalannya ialah berapakah jumlah kenaikan yang dicadangkan dan apakah statusnya sekarang?” katanya.
Beliau berkata petugas FDS yang dihantar ke kawasan pedalaman berdepan risiko lebih tinggi dan sewajarnya diberikan perlindungan serta pampasan yang setimpal.
Wong turut menggesa supaya amalan mewajibkan petugas FDS menandatangani dokumen yang mengehadkan hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan sebelum menaiki penerbangan dihentikan.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga perlu menyediakan perlindungan insurans risiko pekerjaan yang mencukupi kepada petugas sebagai langkah perlindungan tambahan.
Beliau turut bimbang nahas Long Lellang menjejaskan usaha menarik doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sarawak sekiranya isu keselamatan tidak ditangani secara tuntas.
“Di Sarawak, keperluan kepada FDS bukan pilihan tetapi satu keperluan kerana faktor geografi dan jarak. Mereka yang sanggup terbang ke kawasan terpencil untuk menyelamatkan nyawa juga perlu diberi jaminan keselamatan dan kebajikan,” katanya.
Wong turut memuji bantuan ihsan RM100,000 oleh kerajaan GPS Sarawak kepada keluarga setiap mangsa serta keputusan Yayasan Sarawak untuk menanggung sepenuhnya kos pendidikan anak-anak mangsa.
“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah konkrit menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keselamatan petugas perubatan,” tegasnya. – Bernama
Oleh Akun Giman




