KUCHING: Hasrat jururawat Debra Moset mengadakan pertemuan semula dengan rakan sekolah di rumah baharunya di Kampung Semadang, di sini, tidak kesampaian selepas beliau terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Selasa lepas.
Rumah yang sepatutnya menjadi tempat Debra, 40, dan rakan sekolah berkumpul untuk mengimbau kenangan lama, hari ini menjadi lokasi jenazahnya dibawa pulang untuk penghormatan terakhir.
Sepupu mendiang, Sandra Ninyong, 43, berkata Debra dan keluarga turut tidak sabar untuk mengadakan majlis kesyukuran di rumah berkenaan yang dijadualkan pada minggu depan, sebelum mengadakan pertemuan semula tersebut.
“Anak perempuan sulung mendiang, Euodia, juga telah menghantar jemputan kepada sepupu-sepupunya menerusi WhatsApp untuk datang ke rumah pada minggu hadapan.
“Ini kali pertama dan terakhir Debra masuk ke rumah yang telah ditunggunya selama kira-kira setahun untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Semadang, dekat sini, hari ini.

Debra meninggalkan suami, John Then Hua Ken, 43, serta dua cahaya mata, Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Suling, 12.
Terdahulu, jenazah mendiang diterbangkan dari Miri dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira jam 10 pagi sebelum dibawa ke kampung halamannya dan tiba sekitar 12.30 tengah hari.
Mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan St Patrick, Semadang, esok.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, turut hadir di kediaman mendiang.

Dr Jerip berkata khidmat kaunseling akan disediakan kepada keluarga mendiang jika diperlukan bagi membantu mereka menghadapi kehilangan berkenaan.
“Bantuan kaunseling akan disediakan mengikut keperluan dan jika memerlukan bantuan lain, mereka boleh berhubung terus dengan pihak kita,” katanya.
Debra antara lima mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang, Baram, Sarawak, yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.
Nahas turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin 33, jururawat Jessie Paya Jok 44 dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry 31. – Bernama




