PADAWAN: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas Perodua Kenari yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Sungai Moyan berhampiran simpang Jalan Moyan Segah Lorong 3, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, kemalangan berlaku kira-kira 3.00 pagi ketika mangsa, Jeffery anak Dion, memandu seorang diri dari Pines Square, Batu Kawa menuju ke Kampung Sagah, Jalan Matang.
“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut sedang bergerak lurus sebelum pemandunya tiba-tiba hilang kawalan, menyebabkan kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan, berpusing dan terbalik ke dalam parit.
“Impak kemalangan turut menyebabkan pemandu tercampak keluar dari kenderaan ke dalam parit di bahu kanan jalan,” katanya hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 12.05 tengah hari oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Umum Sarawak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan Puspakom selain menjalankan usaha mengesan saksi bagi membantu siasatan.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan utama dari arah Kampung Sagah menuju ke Moyan.




